Pakar ramal ekonomi negara akan pulih tahun depan

Pakar ramal ekonomi negara pulih tahun depan

EKONOMI negara diramal kembali pulih tahun depan. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ekonomi negara dijangka pulih pada 2022 menerusi unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tumbuh pada kadar 5.3 peratus berbanding jangkaan tahun ini iaitu sekitar 3.0 peratus hingga 4.0 peratus.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Ekonomi Bank Islam, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, ramalan itu dipacu menerusi pemulihan ekonomi global dan domestik di samping dasar fiskal dan mone­tari yang sentiasa menyokong pemulihan ekonomi negara.

Katanya, meskipun ramalan KDNK 2022 tidak sama seperti unjuran tahun-tahun sebelum­nya, namun ia merupakan satu kadar yang realistik sekali gus berupaya membantu memulihkan ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Malah unjuran KDNK tahun ini iaitu 3.0 peratus hingga 4.0 peratus sememangnya berkurangan berbanding jangkaan asal iaitu 6.0 hingga 7.0 peratus. Namun penurunan kadar ini menunjukkan kerajaan semakin berhati-hati di dalam penilaian terhadap prospek pemulihan ekonomi negara.

BARJOYAI BARDAI

“Malah ia merupakan suatu unjuran yang agak realistik memandangkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) pun berjalan lancar dan kadar pemvaksinan lengkap dalam kalangan populasi dewasa telah pun melebihi 70 peratus sekali gus menunjukkan bahawa imuniti berkelompok bakal dicapai dalam masa terdekat.

“Selain itu beberapa ne­ge­ri utama seperti di Lembah Klang telah pun beralih ke fasa seterusnya di dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN). Oleh itu, kegiatan ekonomi dijangka lebih rancak bermula September ini sehingga penghujung tahun ini sekali gus mampu memacu pertumbuhan negara lebih pesat,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan me­ngunjurkan pertumbuhan KD­NK 2021 antara 3.0 peratus hingga 4.0 peratus, namun dijangka tercapai menerusi pembukaan banyak lagi sektor ekonomi termasuk pelanco­ngan berkonsepkan gelembung perjalanan.

Malah, sebuah agensi penarafan kredit RAM Rating Services Bhd. (RAM Ratings) mengekalkan unjuran 2021 untuk KDNK Malaysia pada 3.8 peratus dengan menjelaskan peningkatan kadar vaksinasi di negara ini dijangka memudahkan pembukaan semula sebahagian besar sektor ekonomi pada suku keempat, memberikan rangsangan yang baik kepada pertumbuhan.

Dalam pada itu, Mohd. Af­zanizam menjelaskan sektor berkaitan perkhidmatan seper­ti pelancongan, makanan dan minuman, peruncitan dan logistik antara yang perlu dipergiatkan dan diberi tumpuan memandangkan negara sudah lama berada dalam mod Perintah Kawalan Perge­rakan (PKP).

“Dengan pengurangan kekangan terhadap pengoperasian perniagaan, maka ini seharus­nya dapat merancakkan lagi ke­giatan ekonomi dalam jangka masa terdekat ini,” katanya.

Pensyarah Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai daripada Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) pula berkata, meskipun agar sukar untuk mencapai jumlah KDNK lebih besar antara 5-6 peratus menjelang akhir 2021 dalam tempoh berbaki tiga bulan walaupun sektor ekonomi dibuka sepenuhnya, namun paling utama buat masa kini adalah kesejahteraan isi rumah.

Katanya, pembukaan semula sektor ekonomi memberikan impak kepada kedudukan isi rumah apabila banyak perniagaan dapat dibuka semula di samping rakyat dapat mencari pendapatan untuk menyara kehidupan seharian.

“Justeru itu, kerajaan wajar memberikan tumpuan kepada sokongan dan bantuan perniagaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) agar mereka dapat mereka kembali memulakan perniagaan yang akhirnya rakyat dapat mendapat faedah menerusi peluang pekerjaan dan pendapatan.

MAZLAN ALI

“Jika lebih banyak sektor ekonomi dibuka, maka rakyat dapat kembali bekerja dan sekali gus menyara kehidupan diri dan keluarga. Itu yang lebih penting buat masa sekarang,” katanya.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr. Mazlan Ali berkata, kestabilan politik negara menjadi penentu pemulihan ekonomi sekali gus memberi keyakinan kepada pelabur untuk terus bertapak di negara ini.

Justeru, kata beliau, langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memeterai memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kesta­bilan Politik dengan Pakatan Harapan bertujuan untuk me­ngorak langkah kestabilan politik membawa keluar negara da­ripada situasi sukar Covid-19.

Katanya, ‘luka’ dialami negara akibat kesan pandemik tidak perlu ditambah dengan ketentuan politik kerana ia menambah kesengsaraan rakyat yang kini bergelut dengan mencari nafkah kehidupan.
“MoU ini menunjukkan kerajaan dan pembangkang mengambil jalan membentuk kesefahaman di dalam mendepani cabaran Covid-19 dan ketidakstabilan ekonomi yang melanda tanah air,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×