fbpx

Noh peruntuk RM300,000 laksana Program Prestij Pembelajaran

NOH OMAR menyampaikan sijil pencapaian kepada guru terbaik dalam sekolah di Kuala Selangor yang melaksanakan Program Prestij Pembelajaran bagi sekolah dalam daerah berkenaan di PPD Kuala Selangor, Selangor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Peruntukan sebanyak RM300,000 disediakan bagi melaksanakan Program Prestij Pembelajaran di negeri ini dalam usaha memastikan pencapaian pelajar dalam peperiksaan khususnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)

Pelaksanaan program berkenaan bertitik tolak daripada inisiatif pertama yang dilakukan oleh Pengarah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Selangor apabila melaksanakannya sejak tahun lalu dan menunjukkan peningkatan pelajar lulus SPM daripada 83 kepada 87.8 peratus.

Malah menerusi program sama, peningkatan pencapaian dalam perolehan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) STPM pada tahun lalu juga merekodkan peningkatan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, beliau melihat pencapaian itu sebagai impak berkesan terhadap pembelajaran pelajar khususnya ketika negara sedang berhadapan krisis wabak Covid-19 dan bersetuju menyediakan peruntukan RM300,000 daripada Yayasan Bank Rakyat.

“Yayasan Bank Rakyat ini memang salah satu tujuan ditubuhkan untuk memberi sumbangan pendidikan. Saya tengok dari segi pendidikan, selain daripada bentuk material seperti buku atau beg, tetapi sekarang ini yang lebih penting sekarang adalah memberikan ilmu.

“Dalam keadaan dunia pembelajaran tidak dapat diadakan secara bersemuka, saya berharap dengan program seperti ini dengan kerjasama Yayasan Bank Rakyat, maka kita harap akan dapat membantu khususnya pelajar golongan B40. Ini target kita,” katanaya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Prestij Pembelajaran peringkat (PPD) Kuala Selangor yang turut dihadiri pengarahnya, Mohd. Azuan Mohd. Nawawi dan Pengarah Pejabat Pendidikan Selangor (PPN), Anismah M. Noh.

Ahli Parlimen Tanjong Karang itu menambah, terdapat 10 daerah di negeri ini yang akan menerima peruntukan kira-kira RM30,000 bagi setiap PPD dengan menyasarkan pelajar daripada golongan B40.

“Kita bantu dari segi konsep. Macam di Kuala Selangor kita peruntukkan dalam RM30,000 untuk program ini dan di Selangor ada 10 daerah, jadi kalau setiap PPD diberikan peruntukan sama, maka RM300,000 perlu disediakan.

“Kita berikan bantuan kepada guru dan pelajar terutama mereka yang bakal menghadapi peperiksaan. Saya akan minta PPD Selangor dengan segera untuk laksana dan Mohd. Azuan mungkin boleh menjadi penyelaras dengan kerjasama PPN. Kita akan buat secepat mungkin,” ujarnya.

Sementara itu Anismah dan Mohd. Azuan menjelaskan, Program Prestij Pembelajaran itu merupakan inisiatif yang diwujudkan dengan kerjasama para guru untuk mewujudkan kaedah pembelajaran tambahan seperti tuisyen, sesi ulangkaji dan juga program motivasi.

“Ini adalah pelaksanaan di luar waktu persekolahan mungkin pada waktu malam atau hujung minggu. Tidak mengganggu waktu pembelajaran formal, sebaliknya menjadi nilai tambah bergantung kepada kesesuaian sama ada pada sebelah malam atau hujung minggu.

“Kita memberi bayaran saguhati kepada guru atas inisiatif dan masa mereka. Sebab hendak mengajar kena ada persediaan, bahan dan sebagainya jadi memang mereka bekerja lebih waktu,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI