Negeri Sembilan benar solat jemaah ikut kapasiti masjid, surau - Utusan Malaysia

Negeri Sembilan benar solat jemaah ikut kapasiti masjid, surau

 AMINUDDIN Harun dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, Seremban hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan membenarkan solat fardu, Jumaat dan solat jenazah dihadiri jemaah yang menerima dua dos vaksin Covid-19 dengan jumlah mengikut kapasiti masjid serta surau.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kebenaran dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) itu bermula Jumaat ini.

Kata beliau, perkara tersebut diputuskan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

“Namun, perlu ada penjarakan sosial 1.5 meter untuk menjalankan aktiviti di surau dan masjid. Semua ahli jawatankuasa dan petugas keselamatan masjid serta surau perlu mempunyai dua dos lengkap vaksinasi termasuk kepada penduduk tetap,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Tambah Aminuddin, kelas takmir turut dibenarkan dilaksanakan bermula Jumaat ini namun terhad selama satu jam sahaja.

“Selain itu, masjid perlu membuka tingkap, pintu dan kipas bagi memberi ruang laluan udara. Pihak masjid dan surau juga perlu menyediakan makanan dalam bentuk bungkusan bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19 dan tidak dibenarkan mengadakan sebarang jamuan,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau menambah, bagi tujuan pengurusan jenazah pula, hanya enam orang  wakil dibenarkan dan seeloknya ia diadakan di masjid atau surau sahaja.

“Selain itu, urusan mandi jenazah hanya melibatkan enam orang wakil dan solat jenazah dibenarkan mengikut kapasiti masjid dan surau berkenaan.

“Solat jenazah untuk jemaah juga perlu mempunyai ruang penjarakan bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19, katanya lagi.

Sementara itu, Aminuddin menjelaskan, masih belum ada lagi sebarang SOP untuk rumah ibadat bukan Islam dikeluarkan dan ia masih menunggu keputusan daripada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN