PETALING JAYA: Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) tidak bermaksud menyokong undi percaya bagi menentukan keabsahan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usul undi percaya tetap perlu dilakukan sebagaimana yang dinyatakan secara terbuka sejak awal lagi ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Negara.
“Penegasannya adalah perlu adanya undi percaya dan Raja Nazrin menyebut harus menjadi tajuk pertama persidangan Parlimen kali ini. Sebab itu bagi kita, kena bermula dengan asas ini, harus ada undi percaya.
“(Namun) kita tidak mahu isu keabsahan perdana menteri, membatalkan usaha kerjasama dalam bidang-bidang utama termasuk Covid-19 dan ekonomi. Sebab itulah saya sebut kepada Perdana Menteri, walaupun kita tak setuju dengan keputusan untuk tidak meneruskan undi tidak percaya, kita akan tetap beri kerjasama berbincang mengenai soal MoU,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata demikian ketika membahaskan Titah Diraja bagi Mesyuarat Pertama Penggal Keempat, Parlimen ke-14.
Beliau pada masa sama juga menjelaskan dengan kerjasama itu, PH tetap melaksanakan peranan sebagai pembangkang dan tidak berganjak melaksanakan tugas semak dan imbang, membantah, menyokong dan mengusulkan seperti yang kita lakukan sebagai pembangkang yang sihat sebelum ini . – UTUSAN ONLINE










