KUALA LUMPUR: Pengecualian bayaran faedah untuk moratorium pinjaman bank bagi tempoh tiga bulan untuk suku tahun keempat 2021 masih dalam proses perbincangan.
Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa berkata, kerajaan masih membincangkan dengan institusi perbankan kerana ia melibatkan keputusan komersial antara bank, lembaga pengarah dan pemegang sahamnya.
“Namun satu rumusan akan kita usahakan yang workable dan setara dengan mengambil kira kesan jangka panjang terhadap peminjam, pendeposit, pelabur, institusi kewangan dan ekonomi negara.
“Kerajaan juga memahami masalah yang dihadapi rakyat dan akan mempertimbang pelbagai cadangan yang dikemukakan,” katanya ketika sesi penggulungan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab cadangan Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) berhubung pengecualian faedah untuk moratorium pinjaman bank bagi suku keempat tahun ini.
Namun, Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) menggesa kerajaan supaya membuat keputusan kerana perkara itu termaktub dalam memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang.
“Kita difahamkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum ini berkata bahawa perkara itu sudah selesai dan salah satu perkara dalam MoU antara kerajaan dan pembangkang ialah menyelesaikan moratorium pinjaman balik tanpa faedah terakru.
“Tetapi jawapan timbalan menteri nampaknya macam perkara itu belum selesai, jadi saya harap perkara ini diselesaikan bahawa kerajaan memutuskan tidak ada faedah terakru terhadap moratorium pinjaman balik. Itu diharapkan orang ramai di luar sana,” katanya. – UTUSAN ONLINE