San Francisco dilanda gangguan bekalan elektrik, 130,000 penduduk bergelap

San Francisco dilanda gangguan bekalan elektrik, 130,000 penduduk bergelap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAN FRANCISCO: Sebuah gangguan besar bekalan elektrik melanda San Francisco, menyebabkan kira-kira 130,000 penduduk terputus bekalan dan mendorong pihak berkuasa bandar menggesa orang ramai untuk tinggal di rumah, menurut kenyataan rasmi dan penyedia utiliti.

Sebahagian besar kawasan pusat teknologi Pantai Barat itu yang mempunyai populasi lebih 800,000 orang dilaporkan gelap gelita dengan gangguan pengangkutan awam serta banyak lampu isyarat yang tidak berfungsi pada hujung minggu membeli-belah Krismas yang sibuk.

“Kami sedang bekerjasama dengan pihak respon pertama dan pegawai bandar mengenai gangguan di San Francisco yang menjejaskan kira-kira 130,000 pelanggan,” kata Pacific Gas & Electric Company, penyedia elektrik utama bandar itu, dalam kenyataan di platform X.

Datuk Bandar San Francisco, Daniel Lurie menggesa penduduk untuk menjauhi jalan raya, sambil menambah beberapa lampu isyarat tidak berfungsi dan polis serta pegawai trafik dikerah untuk mengawal persimpangan.

“Hujan akan turun pada waktu malam. Jika tidak perlu keluar, duduk di rumah dan saya akan kemas kini maklumat,” kata Lurie di pusat operasi kecemasan bandar dalam video yang dimuat naik di X.

Menurut beliau, kebakaran di sebuah stesen janakuasa menjadi punca gangguan tersebut dan ketika ini tarikh pemulihan penuh bekalan elektrik masih belum jelas.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN