ALOR SETAR: Jumlah mangsa banjir di Kedah meningkat apabila seramai 264 orang daripada 99 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) sejak Selasa lalu hingga hari ini.
Ketua Bahagian Operasi Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah memberitahu, sebanyak 15 PPS dibuka di tiga daerah mulai pukul 10.30 malam, Selasa lalu hingga pukul 3 pagi hari ini.
Kata beliau, daerah terbaharu terjejas ialah Padang Terap apabila seramai 10 mangsa daripada enam keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tampoi.
“PPS SK Bukit Tampoi dibuka pada pukul 8 malam semalam selepas rumah mangsa dilanda banjir akibat limpahan Sungai Padang Terap berikutan hujan lebat berpanjangan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Saifuddin, daerah paling teruk terjejas ialah Baling dengan jumlah mangsa ditempatkan di PPS seramai 235 orang daripada 89 keluarga.
“Tujuh PPS dibuka pada hari pertama kejadian banjir Selasa lalu diikuti tiga PPS pada hari kedua dan seterusnya dua lagi PPS dibuka pada tengah malam dan awal pagi ini.
“Tiga PPS yang dibuka pada semalam ialah PPS Maktab Mahmud, PPK SK Malau dan PPK Sekolah Menengah Kebangsaan Parit Panjang manakala dua PPS iaitu Surau Barakah Tembak B dan Kampung Padang, Kupang masing-masing dibuka pada 12.50 tengah malam dan 3 pagi ini,” katanya.
Katanya, penambahan PPS turut berlaku di daerah Sik melibatkan SK Sik yang dibuka pada pukul 12 tengah malam semalam.
“Di Sik setakat ini hanya dua PPS dibuka iaitu di SK Gulau dan SK Sik yang kini menempatkan seramai 19 mangsa daripada empat keluarga,” jelasnya.
Tambahnya, jumlah mangsa meningkat apabila berlaku hujan lebat berpanjangan sejak petang semalam hingga tengah malam semalam.- UTUSAN ONLINE