Malaysia bersama 56 negara sertai debat UNGA secara maya - Utusan Malaysia

Malaysia bersama 56 negara sertai debat UNGA secara maya

SESI debat UNGA ke-76 menyaksikan 57 negara termasuk Malaysia memilih untuk menyertai secara maya berbanding kehadiran fizikal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bakal tampil secara maya berucap ketika sesi debat Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-76 pada esok.

Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob berkata, ini merupakan penampilan julung kali pemimpin berkenaan di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) secara maya yang akan disiarkan pada dua skrin gergasi di dewan UNGA.

“Pemimpin dari 56 negara lain juga tampil sedemikian dan di peringkat Asia Tenggara, hanya ketua kerajaan Vietnam yang muncul sesi itu secara fizikal,”  katanya pada sidang akhbar khas di Wisma Putra di sini hari ini.

Langkah tersebut susulan kebimbangan isu penularan varian baharu wabak Covid-19 di ibu pejabat PBB di New York, Amerika Syarikat (AS) yang sudah merekodkan banyak kes baharu.

MUHAMMAD SHAHRUL IKRAM YAAKOB

Malah ujarnya, AS selaku negara tuan rumah turut mengeluarkan nasihat perjalanan agar sesi debat tahunan berkenaan dibuat secara maya dan jika mahu hadir, jumlah delegasi dihadkan.

Perkara itu turut ditetapkan Sekretariat PBB apabila hanya ketua rombongan dan enam wakil dari setiap negara dibenarkan datang dan cuma tiga wakil yang dibolehkan masuk ke dewan.

“Secara kebetulan, Perdana Menteri juga sibuk dengan persiapan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat pada Isnin minggu depan,” jelas Muhammad Shahrul Ikram.

Ucapan Ismail Sabri pada sesi itu katanya, turut akan dapat diikuti menerusi platform rasmi televisyen PBB dan saluran TV1 RTM dijangka antara pukul 11 malam hingga 1 pagi Ahad ini.

Beliau merupakan pendebat kesembilan selepas pemimpin Haiti dan sebelum Laos, manakala Presiden UNGA ialah Abdulla Shahid iaitu bekas menteri luar dan speaker Parlimen Maldives.

Sesi debat umum yang sudah berlangsung sejak Selasa lalu dan akan berakhir pada Isnin depan, merupakan wadah setiap pemimpin menyatakan pendirian negara dalam isu antarabangsa.

Malaysia yang menjadi anggota PBB pada 1957 setelah mencapai kemerdekaan, turut tidak ketinggalan menyertai sesi debat itu bagi menzahirkan penegasan negara dalam pelbagai isu.

“Kali ini, Perdana Menteri dijangka bawa tema ‘Dunia Sebagai Satu Keluarga’ dengan merujuk konsep Keluarga Malaysia yang jadi teras dasar kerajaan,” kata Muhammad Shahrul Ikram.

Beliau juga akan mengulangi pernyataan tegas negara dalam isu Palestin, pembaharuan PBB, Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030, diplomasi kesihatan konsep hidup aman bersama.

Tidak ketinggalan ujarnya lagi, ialah isu Afghanistan dan Myanmar, gencatan senjata sejagat selain cabaran ketidakseimbangan dan ketidakstabilan politik serta urus tadbir antarabangsa.

Ismail Sabri turut akan menyertai acara sampingan UNGA kali ini dengan berucap dalam Persidangan Kemuncak Sistem Makanan PBB yang juga dibuat secara rakaman awal pada esok.

Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah mewakili Malaysia secara maya pada Mesyuarat Peringkat Tinggi Memperingati Hari Penghapusan Senjata Nuklear pada Selasa ini.

Tahun lalu, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga berucap pada sesi UNGA ke-75 secara rakaman awal yang ketika itu, presiden sesi tersebut, Volkan Bozkir dari Turki.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN