UMNO akan sampaikan rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong

UMNO akan sampaikan rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong

Rayuan UMNO
AHMAD MASLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Rayuan pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan di bawa kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, ia merupakan antara resolusi yang dicapai menerusi Town Hall Veteran UMNO Selangor selepas keputusan Mahkamah Tinggi, hari ini mengekalkan Najib Razak di Penjara Kajang.

Katanya, resolusi daripada pandangan ahli dan veteran UMNO di Selangor itu akan dibincangkan di dalam mesyuarat MKT awal bulan depan dan dijangka dibawa ke perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 nanti.

“Kalau ikut emosi, memanglah. Tetapi, itu tidak membawa ke mana. Kita kena menyampaikan permohonan dan rayuan ahli-ahli UMNO, kita tak boleh mendesak. Agar memohon perkenan supaya pengampunan daripada Seri Paduka kepada Najib Razak.

“Ia bukan adendum dan sebagainya, maksudnya pengampunan penuh. Itu (nanti jadi) resolusi UMNO. Sebab itu, peringkat paling tinggi adalah PAU,” katanya ketika ditemui pada Town Hall Veteran UMNO Selangor Sesi Ke-4: Pengurusan Persepsi dan Isu-Isu Semasa Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Titah Adendum yang membenarkan bekas Najib yang juga Perdana Menteri menjalani tahanan di rumah sebagai tidak sah.

Hakim Yee Ching menyatakan Titah Adendum itu tidak pernah dibincangkan mahupun diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61.

Selain itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian menjelaskan keperluan UMNO berada dalam kerajaan walaupun dengan kerjasama Pakatan Harapan (PH) supaya parti itu boleh terus memerintah.

Dalam sesi tadi saya memberi contoh apa akan berlaku di Pahang, Perak dan Negeri Sembilan jika tiada kerjasama. Sebab implikasi terhadap perkara-perkara diputus dalam mana-mana (mesyuarat) MKT ada implikasi di pusat dan negeri.

“Itu terpenting. Kalau 153 tolak 30 masih 123 (sokongan Parlimen). Itu conoth saya memberi angka supaya emosional tidak mengatasi rasional,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×