SUNGAI PETANI: Polis Kedah membongkar sebuah makmal mini memproses dadah dan merampas kira-kira 67 kilogram (kg) heroin serta syabu yang bernilai lebih RM1 juta dalam serbuan di tiga buah rumah, di sini dan Alor Setar, Khamis lalu.
Dua lelaki masing-masing berusia 43 tahun disyaki terlibat kegiatan memproses dan mengedar dadah turut ditahan dalam serbuan tersebut.
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sebuah tersebut bermula di sebuah rumah di Taman Sultan Abdul Halim, Alor Setar pukul 5.30 petang.
Menurutnya, hasil serbuan di rumah itu, polis menahan seorang lelaki dan hasil pemeriksaan menemukan satu plastik lutsinar mengandungi ketulan putih dipercayai heroin seberat 5.8 gram.
“Suspek itu kemudian membawa polis ke sebuah rumah di Taman Pulasan Alor Mengkudu di Alor Setar sebelum menahan seorang lagi lelaki dan merampas 5.9 kg heroin, 200.5 gram syabu dan dua botol kaca berisi cecair untuk memproses dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini hari ini.
Kamarul Zaman menambah, hasil maklumat dua suspek itu, polis kemudian menyerbu sebuah rumah di Cinta Sayang Resort Home, di sini yang dijadikan sebagai makmal mini memproses dadah dan merampas 122 bungkusan plastik lut sinar berisi ketulan warna putih disyaki heroin dengan anggaran berat 54.8 kg.
“Selain itu turut dijumpai adalah enam bungkusan berisi bahan ketulan mampat dipercayai dadah jenis syabu seberat 6.3 kg serta satu plastik berisi ketulan mampat dipercayai heroin base seberat 375.1 gram selain peralatan disyaki digunakan untuk memproses dadah,” ujarnya.
Menurutnya, pihaknya turut merampas sebuah kereta jenis Peugeot CF 2.0E, kereta Nissan Cefiro dan sebuah motosikal jenama SYM Jetpower serta empat utas rantai dan seutas gelang tangan kanak-kanak dipercayai emas.
Tambahnya, kedua-dua suspek yang masing-masing bekerja sebagai peniaga perabot dan mekanik didapati positif dadah dan salah seorang daripada mereka mempunyai empat rekod jenayah lampau.
“Mereka direman tujuh hari sehingga 9 September ini dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Kita jangka akan buat beberapa lagi tangkapan berkaitan kes ini dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN ONLINE