Bekas ratu cantik bangkit lawan PTSD

Bekas ratu cantik bangkit lawan PTSD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Di mata ramai, kehidupannya tampak sempurna. Paras rupa menawan, berpendidikan tinggi, kerjaya stabil dan dikelilingi keluarga yang sentiasa menyokong.

Tetapi, di sebalik kesempurnaan itu, tersimpan detik paling gelap dalam hidup Joeyce Hii Suk Ing, 37.

Dua tahun lalu, bekas ratu cantik dan usahawan ini disahkan mengalami gangguan tekanan pascatrauma (PTSD) dan keresahan serius.

Hari-hari yang dulunya teratur bertukar huru-hara, dek rasa cemas tanpa amaran, gangguan tidur dan tekanan emosi.

Ada ketikanya beliau hampir tewas dengan pergolakan dalam diri.

“Sebelum ini, saya selalu membaca tentang isu kesihatan mental di media, tetapi tidak pernah terlintas akhirnya saya sendiri menghadapinya.

“Pengalaman itu begitu memeritkan, apatah lagi bila kepercayaan, kebaikan dan kelembutan saya dikhianati seseorang,” ujarnya kepada Seri.

Pernah beberapa kali Joeyce mencederakan dirinya apabila gangguan menyerang, sekali gus menggambarkan betapa beratnya tekanan dialami.

Kejadian paling teruk berlaku semasa sesi janji temu mesyuarat dengan rakan perniagaan di sebuah kafe di ibu kota.

“Saya diserang keresahan secara tiba-tiba semasa menunggu rakan dan tanpa sedar, saya mencucuk kaki dengan kuku sehingga berdarah.

“Mujurlah saya sempat dibantu orang awam di situ dan terus dibawa ke klinik berdekatan,” ujarnya.

Susulan tragedi itu, beliau turut mengunci diri di rumah selama setahun dan enggan bertemu sesiapa.

Di rumah, tangisnya berterusan, manakala malam-malamnya panjang tanpa lena sehingga memaksa doktor memberikan ubat tidur.

 

Sayangi diri, jumpa psikiatri
Namun, Joeyce perlahan-lahan belajar berdamai dengan traumanya, menerima bantuan profesional dan membina semula hidupnya.

Justeru, beliau menyeru kaum hawa yang menghadapi tekanan atau trauma serupa untuk segera mendapatkan nasihat pakar psikiatri.

Katanya, langkah itu amat penting untuk membantu seseorang bangkit, pulih dan menenangkan diri, terutama dalam suasana hidup yang semakin mencabar.

“Saya tidak pernah malu atau takut berjumpa pakar psikiatri, sebaliknya saya bangga dapat melakukannya sehingga ke hari ini.

“Itulah bukti yang saya menyayangi diri dan menghargai kesihatan mental,” katanya.

 

Anak jati Sarawak kacukan Cina, Kenyah dan Kenyan ini turut menasihatkan wanita agar tidak membiarkan pandangan orang lain menghalang mereka daripada menjaga kesihatan mental.

Beliau percaya, wanita tidak mudah menyerah kalah, walau sekuat mana kehidupan memukul atau sedalam mana pernah dijatuhkan.

“Kaum hawa sememangnya dicipta untuk bangkit, oleh itu gunakan kelembutan diri sebagai kekuatan manakala kebijaksanaan sebagai senjata dan hati sebagai kompas.

“Setiap fasa sukar itu boleh diatasi kalau kita percaya pada diri dan terus melangkah.

“Saya mahu golongan wanita tahu yang mereka merupakan insan cekal, mampu bangkit, mara ke hadapan dan mencipta kekuatan tersendiri,” kongsinya.

 

Sembuh dengan kerja
Sehingga kini, Joeyce masih mendapatkan rawatan dengan pakar psikiatri dan keadaannya bertambah baik.

Sebagai satu daripada ikhtiarnya untuk pulih, beliau memilih menyibukkan diri dengan kerja.

Selain tugasan hakiki sebagai Pengarah Aghnia Cleaning Service, anak sulung daripada lima beradik ini aktif dalam menguruskan pertandingan ratu cantik menerusi syarikatnya, EBB Entertainment.

Aktiviti itu bukan sekadar memberi kepuasan diri, malah membantunya kekal fokus dan menjadi terapi jiwa.

Dorongan tersebut lahir daripada minat mendalam dan pengalamannya menyertai acara seumpama itu lebih sedekad lalu.

Terbaharu, beliau diamanahkan sebagai Pengarah Acara Minggu Fesyen Selangor 2025 di samping Penganjur Bersama Program Diplomasi Fesyen dan Budaya ASEAN 2025.

“Secara tidak langsung, saya dapat membina semula keyakinan dan kekuatan dalaman selepas melalui tempoh sukar,” katanya.

Dalam pada itu, projek besar yang bakal diterajuinya ialah penganjuran Miss Sarawak Tourism 2026 di Kuching pada Jun depan.

Katanya, platform tersebut bertujuan melahirkan ikon wanita negeri, sekali gus mengetengahkan keanggunan dan keperibadian mereka untuk diangkat sebagai duta pelancongan Sarawak.

Selain kerjaya, beliau turut berhasrat menyambung pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) tidak lama lagi.

 

Pemalu, kurang yakin
Menceritakan penglibatannya dalam pertandingan ratu cantik, Joeyce mengakui suatu ketika dahulu beliau seorang yang pemalu dan kurang keyakinan diri.

Tidak pernah terbayang dirinya mampu melangkah di pentas peragaan, apatah lagi berdepan khalayak ramai.

“Saya masih belajar ketika itu dan memberanikan diri untuk mendaftar dalam Miss Borneo Hornbill Festival 2011.

“Saya anggap ia sebagai cabaran untuk keluar daripada zon selesa dan mengatasi rasa takut yang selama ini membelenggu diri,” katanya.

Percubaan pertamanya membuahkan hasil apabila dinobatkan sebagai naib juara pertandingan tersebut, selain meraih dua gelaran sampingan iaitu Miss Photogenic dan Miss Favourite.

Katanya, perjalanan dalam dunia pertandingan ratu cantik tidak semudah disangka, malah beliau turut berdepan pengalaman dibuli segelintir pihak.

“Ada yang meragui kemampuan saya hanya disebabkan saya tidak lantang bersuara seperti yang lain.

“Tetapi saya abaikan perkara itu dan sentiasa bersikap ramah, baik serta positif dengan semua orang termasuklah peserta dan kru,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN