Lombong bitcoin haram, TNB alami kerugian RM24.36 juta

Lombong bitcoin haram, TNB rugi RM24.36 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tenaga Nasional Berhad (TNB) dilaporkan terpaksa menanggung kerugian sehingga RM24.36 juta akibat daripada aktiviti jenayah perlombongan bitcoin oleh sindiket yang berjaya ditumpas oleh polis berikutan penyambungan elektrik secara haram.

Kerugian itu dikira daripada 30 serbuan premis yang dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada 21 September lalu menerusi satu operasi khas bersama Pasukan Khas Menentang Kerugian (Seal) TNB yang berjaya menahan sembilan lelaki berusia 18 hingga 27 tahun.

Operasi berkenaan dilaporkan berjalan serentak di lapan daerah dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini selama sehari.

Susulan itu, sebanyak 2,137 unit mesin lombong bitcoin bernilai RM600 setiap satu, 10 komputer riba, lima set komputer dan enam unit kad grafik bernilai RM120,000. Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM1.282 juta.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed memberitahu, sindiket dikesan beroperasi sejak September tahun lalu dan risikan polis dan pihak TNB sejak Jun lalu mendapati sambungan elektrik secara haram dibuat di premis terbabit.

“Hasil siasatan dan risikan dipercayai aktiviti ini berjalan untuk tempoh kira-kira satu tahun bermula September 2020 dan nilai kerugian oleh TNB akibat daripada aktiviti terbabit, adalah sebanyak RM24.36 juta anggarannya RM70,000 untuk setiap premis bagi tempoh 12 bulan.

“Kita menahan reman suspek antara dua hari hingga empat hari sejak tarikh tangkapan. Siasatan sekarang ini kita menjurus untuk mengenal pasti dalang kepada kumpulan ini sehingga membolehkan aktiviti ini dilakukan dalam skala yang besar,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Tambahnya, kejayaan menumpaskan sindiket terbabit dianggap yang terbesar dalam beberapa tangkapan terhadap jenayah sama dilakukan sebelum ini.

“Aktiviti ini masih lagi dipercayai berlaku di seluruh Selangor, sebenarnya di seluruh negara khususnya di Selangor dan kita mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai tentang aktiviti jika terkesan ataupun keadaan mencurigakan di mana kemungkinan berlakunya aktiviti seperti ini,” ujarnya.

Jelas Arjunaidi lagi, kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 (1) Akta Bekalan Elektrik 1990.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Arjunaidi turut melaporkan jenayah siber melibatkan telekomunikasi apabila penipuan dalam aktiviti perniagaan dalam talian pada tahun ini meningkat dengan ketara apabila jumlah kes dicatatkan sehingga Ogos lalu adalah sebanyak 901 kes.

Berbanding tahun lalu dan 2019, sebanyak 755 dan 629 kes dilaporkan bagi jenayah terbabit.

Bagaimanapun, laporan jenayah telekomunikasi melibatkan penipuan kewangan berkurangan dengan mendadak apabila 66 kes dilaporkan sehingga Ogos tahun ini. Manakala pada 2020 sebanyak 65 kes dilaporkan iaitu berkurangan lebih 90 peratus berbanding 2019 (1,111 kes).

“Jenayah telekomunikasi melibatkan kerugian sebanyak RM67,855,787 pada tahun ini. Manakala 2020 pula RM130,766,643 dan 2019 RM120,624 513. Keseluruhan jumlah laporan jenayah telekomunikasi pada 2019 ada 1,147 kes, 2020 (978 kes) dan 2021 (649 kes),” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya