SUBANG JAYA: Bekas pemain badminton kebangsaan, Chan Peng Soon menasihatkan Chen Tang Jie untuk mengekalkan prestasinya di tahap terbaik, memandangkan juara dunia itu bakal kehilangan pasangannya, Toh Ee Wei dalam tempoh yang agak panjang.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 itu berkata, tidak mudah sebenarnya untuk Tang Jie hadapi masalah itu sendirian kerana ketiadaan Ee Wei boleh diibaratkan seperti kehilangan tangan kanan atau kiri.
“Sedihlah, memang sah sedih. Sebab itu saya kata Tang Jie kena jaga diri dia agar persembahan tak jatuh, kena teruskan latihan.
“Walaupun dia dapat pasangan yang jauh lebih muda (sebagai pengganti sementara), Tang Jie masih boleh belajar menjadi pemain yang lebih kuat lagi sebelum Ee Wei kembali,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, kelmarin.
Ee Wei dijangka berehat panjang gara-gara kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) dan peluang beregu No. 4 dunia itu mempertahankan gelaran dunia di India, Ogos ini juga masih samar-samar.
Menurut Peng Soon, apa yang sedang diharungi Tang Jie pada ketika ini, sama seperti pengalaman yang dilaluinya sewaktu kehilangan Goh Liu Ying juga dengan kecederaan sama dialami Ee Wei.
Jelasnya, pada waktu itu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak membiarkan dia mengharungi sendirian ujian tersebut, malah, sebaliknya digandingkan bersama Cheah Yee See dan Lai Pei Jing sebagai pasangan sementara.
“Dulu semasa saya kehilangan Liu Ying, dia cedera, saya pula tak cedera. Itu sudah cukup jejaskan masa depan saya, pertandingan yang saya sertai, perancangan saya, semua akan beri kesan,” ujarnya.
Justeru dapat difahami, apabila ketua jurulatih beregu campuran, Nova Widianto tidak menunggu lama untuk membuat keputusan meletakkan pemain muda, Clarissa San sebagai pengganti, sementara menunggu Ee Wei pulih.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai keputusan BAM merombak besar-besaran beregu lelaki negara, Peng Soon berkata, ia bukanlah kejutan kerana badan induk tersebut telah banyak kali berbuat demikian sebelum ini.
“Bagi saya keputusan itu bukan satu perkara buruk, sebab Olimpik pun lambat lagi, jadi, apa sahaja perubahan yang dibuat takkan ganggu persediaan pemain,” katanya. – UTUSAN










