Masih bolehkah fotografi dipercayai?

Masih bolehkah fotografi dipercayai?

Apa yang dilihat mungkin sepasang tangan yang cacat akibat penyakit. Apa yang tidak dilihat adalah perjuangan, kesabaran dan kisah hidup yang tidak pernah diketahui oleh kebanyakan kita.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pernahkah kita melihat sekeping gambar di media sosial lalu terus percaya kepada apa yang dipaparkan? Seorang kanak-kanak menangis di tepi jalan, warga emas duduk bersendirian di bangku.

Dalam beberapa saat sahaja, kita sudah mula membina pelbagai andaian. Kita rasa faham dan tahu apa cerita di sebalik gambar yang sedang berlaku.

Tetapi benarkah begitu?

Mungkin kanak-kanak itu menangis kerana ketawa terlalu gembira. Mungkin warga emas itu sebenarnya sedang menunggu cucunya pulang dari sekolah? Gambar memang mampu merakam satu detik, tetapi tidak semestinya keseluruhan cerita, di sinilah fotografi menjadi menarik. Dalam masa yang sama, di sinilah juga fotografi menjadi sangat berbahaya didalam memanipulasi cerita.

Sejak sekian lama, masyarakat meletakkan kepercayaan yang tinggi terhadap gambar. Apa yang dirakam oleh kamera dianggap hampir sama dengan kebenaran.

Tidak hairanlah apabila Susan Sontag dalam bukunya On Photography (1977) menyatakan fotografi berfungsi sebagai bukti visual kepada sesuatu peristiwa. Gambar bukan sekadar imej, tetapi sering dianggap sebagai saksi dan bukti.

Namun hari ini keadaannya semakin berbeza, dalam dunia yang dipacu kecerdasan buatan (AI), teknologi penyuntingan digital dan algoritma media sosial, apa yang dilihat tidak lagi semestinya apa yang berlaku.

Wajah ini mungkin mengundang pelbagai tafsiran. Sedih, marah, terkejut atau gembira. Namun seperti fotografi itu sendiri, apa yang dilihat tidak semestinya menceritakan keseluruhan kisah.

Sesuatu imej boleh diubah, diperkemas, ditambah, dibuang atau disusun semula sehingga menghasilkan tafsiran yang sama sekali berbeza daripada realiti asal.

Lebih membimbangkan, manipulasi itu kadangkala dilakukan bukan untuk memperbaiki kualiti visual, tetapi untuk membina emosi. Untuk menjadikan sesuatu cerita lebih menyedihkan. Lebih mengejutkan. Lebih marah. Lebih sensasi. Pendek kata, lebih mudah menjadi viral.

Menurut John Berger dalam Ways of Seeing (1972), cara kita melihat sesuatu gambar sentiasa dipengaruhi oleh bagaimana ianya dipersembahkan. Apa yang kita lihat tidak pernah benar-benar neutral, ia sentiasa dipandu oleh sudut pandang tertentu.

Hari ini, pandangan Berger itu menjadi semakin relevan. Persoalannya bukan lagi sama ada gambar boleh mempengaruhi persepsi, tetapi sejauh mana persepsi itu sedang dibentuk sebelum gambar tersebut sampai ke mata yang menilainya.

Dalam bidang kewartawanan visual, cabaran ini semakin dirasai oleh jurufoto baharu. Mereka berdepan tekanan untuk menghasilkan imej yang mampu menarik perhatian dalam tempoh beberapa saat. Dalam perlumbaan mendapatkan klik, tontonan dan perkongsian, gambar yang dramatik sering mendapat tempat berbanding gambar yang jujur.

Di sinilah etika mula diuji.

Menurut Fred Ritchin dalam After Photography (2009), era digital telah mengubah hubungan antara fotografi dan realiti.

Barangkali kita melihat kemiskinan. Mungkin kita melihat kesedihan. Tetapi mungkin juga kita melihat seorang kanak-kanak yang bahagia di dunianya sendiri. Itulah sebabnya dalam fotografi, apa yang dilihat tidak lagi semestinya apa yang berlaku.

Jika suatu ketika dahulu fotografi dianggap sebagai rekod kepada sesuatu peristiwa, hari ini ia semakin berupaya menjadi alat untuk membentuk realiti baharu.

Persoalannya, adakah jurufoto masih berfungsi sebagai pemerhati, atau sudah mula menjadi pencipta naratif? Soalan ini mungkin kedengaran mudah, tetapi implikasinya besar.

Kerana apabila masyarakat mula meragui gambar, mereka bukan sekadar meragui jurufoto walhal mereka mula meragui cerita malahan meragui kebenaran itu sendiri. Dan mungkin atas sebab itu, dalam dunia yang dipenuhi imej hari ini, tugas seorang jurufoto bukan lagi sekadar menghasilkan gambar yang menarik.

Sebaliknya, cabaran yang lebih besar adalah memastikan bahawa di sebalik setiap gambar yang dihasilkan, masih ada satu perkara yang tidak berubah kejujuran terhadap cerita yang dirakam.

Penulis ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Visual Komunikasi- Fotomedia Kreatif, Fakulti Seni Lukis & Seni Reka UiTM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN