JOHOR BAHRU: Lapan suspek yang disyaki terlibat dalam perbuatan membuang sisa buangan industri terjadual ke tali air di Kampung Baru Sri Aman, Kempas, di sini, kelmarin direman tiga hari bermula hari ini.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor, Dr. Mohd. Famey Yusoff berkata, seorang lagi suspek yang turut ditahan semalam dilepaskan dengan jaminan polis setelah keterangannya direkodkan.
Beliau berkata, perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Kanan, Suhaila Shafi’uddin selepas JAS membuat permohonan tahanan reman pagi tadi.
“Lapan suspek termasuk pemilik premis yang disyaki terlibat dalam kejadian pembuangan sisa toksik yang mencemari Sungai Tawakal, Kempas, direman tiga hari sehingga Sabtu ini.
“Ia bagi membantu JAS Negeri Johor merakam keterangan kesemua suspek bagi melengkapkan kertas siasatan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Semalam akhbar melaporkan seramai empat penduduk Kampung Baru Sri Aman pengsan manakala 128 lagi terpaksa dipindahkan selepas berlakunya pencemaran bau yang terhasil daripada pembuangan sisa kimia yang mengalir ke sungai berhampiran.
Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam Selasa lalu, empat wanita berusia antara 22 hingga 49 tahun itu dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi mendapatkan rawatan susulan.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, seramai sembilan suspek terdiri daripada lima warga tempatan serta empat warga asing termasuk pemilik premis ditahan bagi membantu siasatan berhubung Insiden berkenaan.
Mengulas lanjut, Dr. Mohd. Famey berkata, JAS Negeri Johor berharap kesemua yang ditahan reman itu akan didakwa mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Kita berharap kesemua suspek ini akan didakwa dalam masa terdekat selepas kertas siasatan dilengkapkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, kesemua penduduk yang diarah mengosongkan kediaman mereka sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas keadaan dilaporkan terkawal dan selamat. – UTUSAN










