Sistem MyKhas: ‘Pasti ada sesuatu berlaku mengakibatkan sekatan dikenakan kepada mereka’

Sistem MyKhas: ‘Pasti ada sesuatu berlaku mengakibatkan sekatan dikenakan kepada mereka’

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil menjangkakan sekatan akses melibatkan peruntukan di bawah sistem MyKhas melibatkan beberapa ahli Parlimen berkemungkinan berlaku atas perkara tertentu dan bukannya dilakukan secara sewenang-wenangnya.

Menteri Komunikasi itu berkata, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa penduduk di kedua-dua Parlimen berkenaan masih boleh membuat permohonan seperti biasa yang kemudiannya akan diteliti oleh pihak ICU JPM.

“(Isu itu) merujuk kepada peruntukan MyKhas, ia tidak menyentuh hak atau pun elaun dan apa-apa aspek lain yang diberikan kepada seorang wakil rakyat melalui Parlimen.

“Oleh itu, sudah pasti ada sesuatu yang telah berlaku yang mengakibatkan sekatan ini dikenakan kepada mereka.

“Namun, saya ambil maklum dan umum ambil maklum bahawa Unit Penyelarasan Pelaksanaan telah membuat kenyataan bahawa warga dan penduduk di kedua-dua Parlimen masih boleh membuat permohonan yang akan diteliti oleh pihak ICU untuk diluluskan, jadi tidak timbul isu mengenai aspek dari segi permohonan dan peruntukan (MyKhas),” katanya menerusi sidang akhbar mingguan di sini hari ini.

Peruntukan MyKhas merujuk kepada dana atau peruntukan pembangunan kawasan yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada ahli Parlimen. Dana ini diuruskan melalui sistem dalam talian MyKhas di bawah seliaan ICU JPM.

Baru-baru ini, ahli Parlimen, Subang Wong Chen dan ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung mendakwa pejabat mereka tidak dapat mengakses sistem MyKhas, sekali gus menjejaskan urusan permohonan peruntukan Projek Mesra Rakyat (PMR) bagi kawasan masing-masing.

Sebelum ini Chen dilapor menjadi salah seorang daripada enam ahli Parlimen PKR yang menghadiri program hala tuju politik Datuk Seri Rafizi Ramli yang juga bekas Menteri Ekonomi dan Nik Nazmi Nik Ahmad (bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam).

Lima lagi yang lain ialah Datuk Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Rodziah Ismail (Ampang), Zahir Hassan (Wangsa Maju) dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya).

Semalam, pemimpin kanan PKR mempertahankan keputusan menggantung akses sistem MyKhas kepada ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung dan ahli Parlimen Subang, Wong Chen oleh kerajaan.

Timbalan Setiausaha Agungnya, Bryan Ng Yih Miin berkata, penggantungan akses tersebut bukan disebabkan kesilapan pentadbiran atau tindakan yang menyasarkan individu tertentu, sebaliknya merupakan kesan institusi susulan pendirian politik yang diambil mereka.

Manakala dalam satu kenyataan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) memberikan jaminan bahawa segala bentuk peruntukan kepada rakyat akan terus disalurkan dan dikendalikan secara langsung bagi memastikan kebajikan mereka tidak terjejas.

ICU JPM memaklumkan, pihaknya mengambil maklum isu yang dibangkitkan beberapa Ahli Parlimen baru-baru ini berhubung capaian peruntukan di bawah sistem MyKhas.

“Sehubungan dengan itu, ICU JPM ingin menegaskan bahawa segala bentuk peruntukan kepada rakyat akan tetap disalurkan dan dikendalikan secara langsung demi memastikan keperluan dan kebajikan mereka dapat diteruskan tanpa sebarang masalah,” menurut kenyataan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN