Kilang e-waste di Muadzam Shah diarah henti operasi - Utusan Malaysia

Kilang e-waste di Muadzam Shah diarah henti operasi

KILANG yang disyaki melakukan aktiviti kitar semula e-waste secara haram di Kampung Orang Asli Mikang di Muadzam Shah di Rompin, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri membuka kertas siasatan untuk mendakwa pemilik kilang yang disyaki melakukan aktiviti kitar semula e-waste secara haram di Kampung Orang Asli Mikang, Muadzam Shah, dekat sini hingga menyebabkan pencemaran bau di kawasan berhampiran.

Hasil siasatan menemukan satu alat pembakaran bahan api yang dilengkapi dengan cerobong dan dua alat janakuasa dipercayai digunakan untuk meleburkan e-waste iaitu papan litar, wayar elektrik dan elektronik untuk dijadikan jongkong.

Sebanyak lima sampel bahan mentah telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisis komposisi kimia.

Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam kenyataannya memaklumkan, JAS telah mengeluarkan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) terhadap premis berkenaan bermula 13 September lalu dan disusuli dengan Perintah Larangan.

Menurut kenyataan itu, JAS turut mengeluarkan empat kompaun terhadap pemilik tanah tersebut.

“JAS juga mengesyorkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui Jawatankuasa Tindakan Daerah untuk mengambil tindakan merobohkan premis tersebut kerana aktiviti yang dijalankan adalah tidak bersesuaian di kawasan berkenaan.

“JAS dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi-agensi lain meneruskan pemantauan bagi memastikan kejadian ini tidak berulang.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 34A dan 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi aktiviti menerima, menempatkan, meletakkan dan meleburkan e-waste tanpa kelulusan Ketua Pengarah Alam Sekeliling.

“Jika disabitkan kesalahan, kedua-dua Seksyen 34A dan 34B masing-masing memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” kata kenyataan itu.

KASA dalam kenyataannya turut merakamkan penghargaan kepada orang awam atas keprihatinan terhadap kes-kes pencemaran yang berlaku.

“Sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar boleh dilaporkan di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau emel ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.