Kerja sudah dibuat, cuma sambung dan tingkatkan lagi - Abdul Hadi - Utusan Malaysia

Kerja sudah dibuat, cuma sambung dan tingkatkan lagi – Abdul Hadi

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Datuk Seri Abdul Hadi Awang berazam meningkatkan lagi urusan-urusan kerjanya sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah.

Presiden Pas itu berkata, pelantikan semula ke jawatan berkenaan membolehkannya menyambung semula tugasan yang ditinggalkan terdahulu di samping menggerakkan perancangan baharu.

Katanya, sepanjang memegang amanah tersebut, beliau sudah mengadakan pertemuan diplomatik dengan 10 duta negara Timur Tengah bagi membincangkan mengenai kerjasama dua hala dalam bidang politik, ekonomi dan pendidikan.

“Tindakan susulan pula dilakukan oleh kalangan menteri menerusi siri lawatan dan antaranya adalah membabitkan perdagangan kelapa sawit yang meningkat.

“Kita turut membincangkan mengenai sektor pendidikan di Mesir dan Jordan selain kerjasama membantu rakyat Palestin. Kerja sudah dibuat cuma disambung semula dan ditingkatkan lagi,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah duha secara dalam talian di Rusila, di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mempengerusikan Mesyuarat Kabinet pertama memutuskan untuk terus menyambung pelantikan Abdul Hadi di samping Datuk Seri Tiong King Seng (Duta Khas ke China) dan Datuk Seri Richard Riot (Duta Khas ke Asia Timur).

Presiden Pas itu dilantik memegang jawatan berkenaan semasa pentadbiran kerajaan di bawah bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2 April tahun lalu.

Abdul Hadi yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Islam Madinah dan Ijazah Sarjana Muda Sains Politik dari Universiti Al-Azhar, Mesir adalah bekas Naib Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, kesemua duta-duta di Timur Tengah mengalu-alukan peranannya susulan hubungan baik dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di rantau berkenaan yang secara tidak langsung memudahkan lagi urusan kerja. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN