MELABUR dalam pasaran emas memerlukan kefahaman yang baik serta perancangan yang teliti.
Emas bukanlah instrumen untuk mendapatkan keuntungan segera, sebaliknya ia lebih sesuai dijadikan sebagai simpanan jangka panjang bagi melindungi nilai wang daripada inflasi.
Pelabur disaran untuk bermula dengan modal kecil dan memilih jenis pelaburan emas yang sesuai, sama ada emas fizikal atau akaun emas yang dipercayai.
Selain itu, pembelian emas perlu dibuat secara konsisten tanpa mengikut emosi turun naik harga pasaran serta memastikan urus niaga dilakukan dengan penjual yang sah dan bereputasi baik.
Minggu ini, Ringgit berkongsi panduan untuk melabur dalam emas.
Fahami tujuan melabur
Setiap pelaburan perlu selari dengan matlamat kewangan yang ingin dicapai, sama ada untuk menyimpan nilai wang bagi jangka panjang, melindungi simpanan daripada kesan inflasi, menyediakan dana masa hadapan atau mempelbagaikan aset.
Dengan tujuan yang jelas, pelabur tidak mudah terpengaruh dengan turun naik pasaran dan dapat melabur secara lebih tenang, terancang serta berdisiplin.
Emas biasanya lebih sesuai untuk jangka sederhana dan panjang, bukan cepat kaya.
Kenali jenis pelaburan emas
Mengenali jenis pelaburan emas merupakan langkah penting sebelum mula melabur.
Pelbagai jenis pelaburan emas boleh dibuat dalam bentuk emas fizikal seperti jongkong, dinar dan barang kemas, atau dalam bentuk akaun emas dan emas digital yang ditawarkan oleh institusi kewangan dan platform yang dipercayai.
Dengan memahami kelebihan dan kekurangan setiap jenis pelaburan emas, pelabur dapat memilih kaedah yang paling sesuai dengan kemampuan, tahap risiko dan matlamat kewangan masing-masing.
Antaranya, emas fizikal iaitu jongkong, dinar, barang kemas, emas akaun / digital (bank atau platform patuh syariah) atau dana emas (untuk yang lebih berpengalaman)
Bagi permulaan, emas fizikal kecil atau akaun emas lebih sesuai.
Mulakan dengan modal kecil
Memulakan pelaburan dengan modal kecil adalah strategi yang bijak terutama bagi mereka yang baru ingin menceburi pasaran emas.
Dengan jumlah modal yang kecil, risiko kerugian dapat dikurangkan, sementara pelabur berpeluang mempelajari pergerakan harga emas dan membina pengalaman secara perlahan-lahan.
Selain itu, pelaburan secara konsisten walaupun dengan jumlah kecil dapat membantu membina simpanan emas secara berperingkat, menjadikan pelaburan lebih teratur dan berdisiplin dalam jangka masa panjang.
Pantau harga emas
Sering kali memantau harga emas secara berkala sangat penting bagi memastikan pelabur membuat keputusan yang lebih bijak.
Perubahan harga emas dipengaruhi oleh faktor ekonomi dan pasaran global.
Dengan memantau harga, pelabur dapat merancang masa pembelian dan penjualan dengan lebih baik tanpa bertindak mengikut emosi.
Jika boleh elakkan membeli kerana panik atau ikut trend dan memfokuskan pada jangka panjang, bukan harian.
Beli emas di kedai yang dipercayai
Membeli emas daripada penjual yang dipercayai amat penting bagi mengelakkan penipuan dan kerugian pada masa hadapan.
Penjual yang sah biasanya menyediakan sijil ketulenan emas seperti 999 atau 916 bagi membuktikan kualiti dan nilai emas yang dibeli.
Selain itu, harga jual dan beli mestilah jelas, termasuk perbezaan (spread) supaya pembeli tidak tertipu dengan caj tersembunyi.
Penjual yang mempunyai reputasi baik seperti bank, kedai emas terkenal atau platform pelaburan emas yang sah dan berlesen juga memberi jaminan keselamatan serta memudahkan urusan jual semula pada masa akan datang.
Elakkan skim cepat kaya
Dalam pelaburan emas, skim sebegini selalunya menawarkan janji pulangan yang tinggi dalam masa singkat tanpa risiko, sedangkan hakikatnya harga emas sentiasa bergantung kepada pasaran.
Skim yang tidak sah sering menggunakan taktik memperdaya seperti sistem rekrut, pulangan tetap atau alasan pelaburan eksklusif untuk menarik mangsa.
Oleh itu, pelabur perlu berwaspada, membuat semakan latar belakang syarikat dan tidak mudah terpengaruh dengan tawaran yang kelihatan terlalu baik untuk menjadi kenyataan
Jangan simpan semua harta dalam emas
Ini penting agar anda tidak menyimpan semua harta dalam emas kerana walaupun emas dianggap sebagai pelaburan selamat, ia tetap terdedah kepada turun naik harga pasaran.
Meletakkan semua aset dalam emas boleh mengehadkan peluang pelaburan lain yang mungkin memberi pulangan lebih tinggi atau menyediakan aliran tunai yang diperlukan dalam kecemasan.
Pelabur yang bijak biasanya mempelbagaikan aset mereka dengan mengagihkan wang kepada simpanan tunai, saham, dana atau instrumen lain supaya risiko dapat dikurangkan dan kestabilan kewangan lebih terjamin.
Emas perhiasan sebagai simpanan nilai
Emas perhiasan atau barang kemas boleh dijadikan sebagai aset simpanan kerana ia menyimpan nilai emas dalam bentuk fizikal yang mudah disimpan dan diakses.
Satu daripada kelebihannya ialah ia boleh digunakan untuk tujuan peribadi seperti dipakai atau dijadikan hadiah serta boleh dijual kembali bila memerlukan wang tunai, menjadikannya fleksibel sebagai pelaburan jangka pendek atau simpanan kecemasan.
Namun, terdapat kekurangan yang perlu diambil kira iaitu harga jual balik barang kemas biasanya lebih rendah daripada harga beli asal kerana kos pembuatan, margin penjual dan susut nilai. Oleh itu keuntungan daripada jual balik mungkin tidak setinggi pelaburan emas fizikal seperti jongkong atau dinar. – UTUSAN










