PETALING JAYA: Kenaikan harga emas dengan campuran (916) dijangka mencecah RM600 segram masa terdekat menggambarkan ketidaktentuan ekonomi global.
Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, lonjakan harga emas membawa implikasi bercampur kepada kedudukan ekonomi sesebuah negara.
Katanya, ia boleh mencerminkan tekanan inflasi atau kelemahan mata wang sekali gus menyumbang kepada kenaikan kos import dan harga barangan tertentu terutamanya jika disertai dengan penyusutan nilai ringgit atau peningkatan kos pembiayaan.
“Daripada sudut positif, kenaikan ini memperkukuhkan kedudukan rizab negara serta institusi kewangan yang mempunyai pegangan emas.
“Namun lonjakan harga emas selalunya menjadi petunjuk kepada kebimbangan pelabur terhadap ketidaktentuan ekonomi global, tekanan inflasi yang memuncak atau risiko geopolitik sekali gus menjadi petunjuk bahawa sentimen ekonomi sebenar masih rapuh,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau mengulas laporan akhbar ini mengenai harga emas terus melonjak dengan emas campuran dijangka mencecah RM600 segram dalam tempoh terdekat.
Mohamad Idham berkata, kos sara hidup dan kuasa beli rakyat boleh terjejas sekiranya kenaikan harga emas disertai dengan inflasi tinggi manakala pendapatan isi rumah pula tidak meningkat seiring dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.
“Dalam situasi ini, pihak yang paling mendapat manfaat sudah pastinya mereka yang mempunyai pendedahan terus kepada aset emas seperti golongan pelabur, bank pusat, syarikat perlombongan dan perdagangan emas,” katanya.
Sebaliknya, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, secara umumnya kenaikan harga emas seharusnya dilihat mempunyai kesan positif, terutama daripada sudut peningkatan nilai aset individu.
Katanya, lonjakan harga semasa secara langsung telah meningkatkan tahap kekayaan bagi mereka yang telah lama melabur emas.










