PETALING JAYA: Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menghantar akuan bersumpah (SD) menyatakan hilang kepercayaan kepada Mohd. Shukri Ramli sebagai Menteri Besar sepatutnya berunding dengan parti terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan.
Pengasas bersama Bersatu, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, kelima-lima ADUN terbabit tidak boleh mengambil sebarang keputusan peribadi tanpa persetujuan daripada pimpinan tertinggi.
Katanya, tindakan sedemikian perlu mendapat lampu hijau daripada kepimpinan terlebih dahulu kerana ia turut melibatkan parti sekutu iaitu Pas yang menerajui pentadbiran negeri tersebut.
“Kelima-lima mereka perlu dipanggil dan menunjukkan sebab kenapa tindakan sedemikian dibuat tanpa memaklumkan kepada parti terlebih dahulu. Namun apa pun alasannya, mereka sepatutnya memaklumkan kepada kepemimpinan dan tidak mengambil tindakan sebarangan.
“Kita ini orang parti, jadi berunding itu melambang kesatuan, sepatutnya mereka tidak buatlah tindakan sendiri, mereka perlu meminta nasihat dan bertanyakan pendirian parti terhadap sesuatu isu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kemelut politik di Perlis berlaku apabila tiga ADUN Pas iaitu Saad Seman (Chuping); Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd. Ridzuan Hashim (Guar Sanji) dilaporkan menghantar SD kepada Raja Perlis bagi menyatakan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar.
Tindakan sama turut diambil oleh lima ADUN Bersatu yang didakwa turut menandatangani SD tersebut, antaranya Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis); Izizam Ibrahim (Titi Tinggi); Megat Hashirat Hassan (Pauh); Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang) dan Marzita Mansor (Sena).
Bagaimanapun, Pas telah melucutkan keahlian ketiga-tiga ADUN terbabit selepas mendapati tindakan mereka melanggar perlembagaan parti.
Mengulas mengenai tindakan tatatertib terhadap kelima-lima ADUN Bersatu itu, Mohd. Redzuan berkata, sebarang tindakan terpulang kepada parti setelah memanggil semua ADUN terlibat dan mendengar penjelasan mereka.
“Tindakan apa yang sepatutnya dikenakan terpulang kepada Lembaga Disiplin dan kepimpinan parti, tetapi sebarang keputusan perlu ada sebab. Pada masa sama mereka (lima ADUN) perlu terima atas kelakuan mereka sendiri.
“Cumanya, kita ada Perlembagaan dan peraturan sendiri jadi kita gunakan acuan sendiri untuk selesaikan masalah ini. Apa pun kita kena jaga hubungan baik antara Bersatu dan Pas dalam Perikatan Nasional,” katanya. – UTUSAN










