KUANTAN: Kementerian Luar memantau perkembangan pertuduhan dua rakyat negara ini yang dihadapkan di Mahkamah Pangkalan Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) di Teluk Guantanamo, Cuba.
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pihaknya sentiasa mengikuti perkembangan perbicaraan membabitkan Mohammed Nazir Lep dan Mohammaed Farik Amin sejak dihadapkan ke mahkamah itu pada 30 Ogos lalu.
“Kita memantau kes perbicaraan itu dan meneliti segala perkembangan berkaitan dengannya,” katanya selepas menghadiri taklimat dan penyerahan cenderahati kepada petugas kesihatan yang bertugas sepanjang pandemik Covid-19 di Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan di sini hari ini.
Beliau mengulas perkembangan dua rakyat Malaysia yang dihadapkan ke Mahkamah Pangkalan Tentera Laut Amerika Syarikat berhubung insiden pengeboman mati di Bali, Indonesia, 19 tahun lalu.
Kedua-duanya ditahan di kem tahanan Teluk Guantanamo sejak 2006 bersama seorang rakyat Indonesia, Encep Nurjaman yang turut dikenali sebagai Hambali.
Menurut Pejabat Suruhanjaya Tentera AS, tiga suspek sepatutnya dihadapkan ke mahkamah itu Februari lalu, namun perbicaraan terpaksa ditangguhkan akibat Covid-19.
Sementara itu, mengulas bantuan yang diberikan Parlimen Indera Mahkota dari Mac 2020 hingga Ogos lalu, Saifuddin berkata, sejumlah RM1.85 juta dibelanjakan untuk membantu golongan yang terkesan dengan wabak pandemik itu di Parlimen berkenaan.
Katanya, jumlah perbelanjaan itu membabitkan pemberian bakul makanan, beras, gula, lampin bayi, pelitup muka, pelindung muka, susu bayi, lampin dewasa dan cecair pensanitasi tangan.
“Bantuan tertinggi ialah pemberian 20,565 bakul, pelitup muka dan cecair pensanitasi tangan, masing-masing 8,200 unit dan 1,500 pelindung muka.
“Peruntukan itu bukan sahaja daripada program Bakul Prihatin Negara, malah sumber daripada Pejabat Ahli Parlimen Indera Mahkota, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang turut sama menghulurkan sumbangan,” katanya.










