Kerajaan Negeri Sembilan nafi beri kelulusan tanah JHEAINS dibina kuil - Utusan Malaysia

Kerajaan Negeri Sembilan nafi beri kelulusan tanah JHEAINS dibina kuil

AMINUDDIN Harun Menyampaikan Kad Skim Takaful Tabah kepada kepada salah seorang penerimanya iaitu Nur Husna Fikhriyah Mohd Hatta selepas melancarkan Skim Takaful Tabah kepada golongan penghantar makanan di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menafikan sudah memberi kelulusan berkaitan status tanah milik Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) di Taman Indah Baru, Tampin, dekat sini yang menjadi pertikaian selepas terdapat cadangan untuk pembinaan sebuah kuil di kawasan tersebut.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, beliau kesal dengan tindakan pihak yang menyebarkan dakwaan itu termasuk menerusi media sosial sedangkan menurutnya tiada keputusan atau kelulusan telah diberikan.

Jelasnya, perkara tersebut masih di peringkat Pejabat Tanah dan Daerah Tampin.

“Saya minta supaya perkata itu tidak perlu diperbesarkan, itu hanya permohonan namun, kerajaan negeri belum buat keputusan, (namun) seolah-olah ayat yang digunakan sudah ada kelulusan jadi saya berharap bahawa jangan jadikan ia sebagai isu agama. 

“Sesiapa boleh hantar surat tidak kira siapa tetapi jangan jadikan isu, sesiapa pun boleh memohon cuma kelulusan tiada lagi belum ada sebarang perbincangan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim Takaful (Tabah) 2021 kepada golongan penghantar makanan di sini hari ini.

Sebelum ini, satu memorandum bantahan telah dihantar Jawatankuasa Surau Taman Indah Baru dekat sini kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di daerah ini bagi membantah cadangan dan usaha pembinaan kuil di tapak pembinaan masjid.

Bantahan itu turut melibatkan umat Islam dari Taman Indah Baru, Taman Clonlee 2 dan Bandar Utama Tampin.

Sementara itu, Pengarah JHEAINS, Datuk Mohd. Zaidi Ramli berkata, tapak tanah tersebut merupakan tanah rizab JHEAINS yang telah wartakan sejak 2011.

“Pihak JHEAINS memang ada cadangan untuk membina masjid namun projek belum boleh dilaksanakan dan tambahan pula dengan penularan wabak Covid-19 di negara ini.

“Pada masa terdekat, kami merancang untuk membersihkan kawasan seluas 0.5 hektar berkenaan bagi pembinaan masjid secara wakaf namun masih lagi di peringkat awal,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN