IPOH: Kenyataan Peguam Negara bahawa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak perlu undi percaya untuk membuktikan keabsahan pelantikan sebagai Perdana Menteri, menggambarkan kekeliruan dan kecelaruan berhubung Perlembagaan khususnya mengenai proses tersebut.
Ketua Pembangkang Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, isu keabsahan atau legitimacy bukan isu undang-undang.
Katanya, apa yang menjadi persoalan adalah isu yang lebih bersifat politik atau asas moral kepada pelantikan dan kedudukan Perdana Menteri.
“Seruan supaya diadakan usul percaya (motion of confidence) adalah supaya pelantikan tersebut disahkan. Meskipun ia bukan keperluan undang-undang, ia tidak bertentangan dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan.
“Bahkan dengan adanya amalan tersebut sebelum ini, khususnya pada 1976 dalam pelantikan Tun Hussein Onn sebagai perdana menteri ketiga, ia sudah menjadi sebahagian daripada amalan dan tradisi Perlembagaan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Aziz yang juga Naib Pengerusi DAP Perak berkata, Yang di-Pertuan Agong sendiri telah menyarankan usul tersebut, dengan itu kenyataan Peguam Negara hari ini adalah aneh dan menimbulkan persoalan.
Menurutnya, ini dengan sendirinya menolak andaian Peguam Negara yang usul berkenaan mempersoal kuasa Yang di-Pertuan Agong.
“Sepatutnya Peguam Negara menyokong cadangan yang jelas boleh menyuburkan tradisi Perlembagaan negara.
“Peguam Negara perlu sedar bahawa Perlembagaan tidak terbatas kepada peruntukan yang ada semata-mata, segala amalan yang selari dengan Perlembagaan juga perlu diperkasakan,” katanya.
Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dalam kenyataan hari ini berkata, memandangkan Yang di-Pertuan Agong telah melantik Ismail Sabri sebagai perdana menteri mengikut Perlembagaan Persekutuan, maka tidak perlu undi percaya di Dewan Rakyat.
Beliau berhujah, undi percaya perdana menteri boleh menjejaskan kuasa Agong.
“Sekiranya pelantikan Perdana Menteri yang baharu masih memerlukan keabsahan oleh mana-mana pihak selain daripada Seri Paduka Baginda, ini bermakna kuasa mutlak Seri Paduka Baginda boleh diatasi oleh pihak lain,” kata Idrus. – UTUSAN ONLINE










