JOHOR BAHRU: Empat beradik yang berasal dari Kampung Tengah, Renggam, Kluang teruja apabila mereka bakal menunaikan ibadah haji secara bersama, bulan depan.
Zulaila Jani, 56, yang merupakan Guru Besar Sekolah Agama Felda Kahang Barat akan menunaikan rukun Islam kelima itu bersama tiga adiknya, Kartina, 55; Mahayu, 54, dan Umi Nadrah, 42.
Katanya, mereka mendapat tawaran panggilan haji pada Februari lalu dan telah membuat persiapan rapi untuk berangkat ke Mekah 7 Mei ini.
“Tahun lalu, saya sudah dapat tawaran menunaikan haji ini namun terpaksa ditangguhkan atas faktor kesihatan. Tak sangka pula, tahun ini saya sekali lagi dapat tawaran bersama tiga adik perempuan yang lain.
“Kami rasa gembira dan bersyukur kerana bukan sahaja hasrat menunaikan ibadah haji menjadi kenyataan malah dapat menunaikan secara bersama-sama,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perjumpaan Bersama Bakal-Bakal Haji Rombongan Kerajaan Johor (RKJ) 1447/2026M di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru semalam.
Keempat adik-beradik itu adalah antara 500 bakal jemaah RKJ yang terdiri daripada pesara dan penjawat awam negeri.
Sementara itu, bagi pasangan Halim Mohammad, 56, dan isteri, Norzita Manap, 53, mereka turut menzahirkan kesyukuran apabila hajat menunaikan ibadah haji tahun ini dipenuhi.
Halim ialah pesara Jabatan Laut Wilayah Selatan berkata, dia memohon RKJ pada 2023 dan menerima tawaran RKJ pada Disember lalu. – UTUSAN










