Kegigihan perdengar hafazan dalam kereta remaja bawa tuah - Utusan Malaysia

Kegigihan perdengar hafazan dalam kereta remaja bawa tuah

FIRDAUS Mohd. Jaafarudin ketika memperdengarkan bacaan hafazan dalam kereta semasa Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1443H/2021M.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Kegigihan seorang remaja lelaki memperdengarkan bacaaan hafazan dalam kereta disebabkan kesukaran mendapatkan talian internet baru-baru ini ternyata tidak sia-sia.

Apa tidaknya, remaja berusia 16 tahun dikenali sebagai Firdaus Mohd. Jaafarudin itu akhirnya dinobatkan sebagai johan bagi hafazan kategori 1 hingga 20 juzuk pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1443H/2021M.

Firdaus sebelum ini menarik perhatian netizen selepas Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) baru-baru ini berkongsi sekeping foto di Facebook yang menunjukkan keadaan dia memperdengarkan bacaan dalam sebuah kereta.

Difahamkan, remaja itu kini berada di kampung dan tujuan dia berbuat demikian supaya mutu persembahan dan alunan ayat suci dapat diperdengarkan dengan jelas dan lancar tanpa gangguan internet.

Jawi menerusi kenyataan akhbar hari ini berkata, kejayaan diraih Firdaus membolehkan dia menerima hadiah wang tunai, sijil penghargaan dan piala iringan serta pakej menunaikan umrah.

Menurutnya, majlis penutup dan penyampaian hadiah secara dalam talian disempurnakan Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Datuk Dr. Mohd. Daud Bakar dan turut disertai Pengarah Jawi, Datuk Mohd. Ajib Ismail.

Pada pertandingan itu, Johan Qari Tilawah Al-Quran dimenangi Muhammad Ammar Mukhlis Abdul Mohsin; Naib Johan, Wan Fakhrul Razi Wan Mohamad dan tempat ketiga Muadzeen Achil.

Johan Qariah dimenangi Lailasari Sabran; Naib Johan, Noorul Hasliza Ahmad dan tempat ketiga dimenangi Kamariah Yusof.

Bagi Hafazan Al-Quran, Kategori 1 hingga 10 juzuk pula, Johan dimenangi Muhammad Ziyad Mohd Husni (lelaki) dan Nur Izzati Norazmi (Perempuan).

Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan Tahun 1443H/2021M berlangsung selama empat hari bermula pada 20 September lalu dan berakhir hari ini secara dalam talian melalui aplikasi zoom serta bersiaran langsung di facebook rasmi Jawi. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.