PETALING JAYA: Pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew berkongsi petua untuk ‘mendirikan’ rumah tangga yang tenang dan bahagia, bercahaya seperti bintang.
Menurut beliau, semuanya itu boleh dicapai dengan menghidupkan rumah melalui amalan taklim atau aktiviti mengayakan ilmu agama.
Sambil meletakkan gambar bersama pelakon Syafiq Kyle di laman Facebooknya, Ustaz Ebit Lew berkata, jika setiap rumah menghidupkan amalan itu, insya-Allah rahmat Allah melimpah dalam rumah kita semua.
“Baca al-Quran dan Hadis Nabi SAW. Rumah akan berkat, penuh kasih sayang. Dipenuhi para malaikat. Penghuni rumah akan tenang dan bahagia. Rumah itu akan bercahaya seperti bintang. Jika setiap rumah di Malaysia dan dunia hidup amalan ini, insya-Allah rahmat Allah melimpah dalam rumah kita semua.
“Kita boleh kumpul makan sekali. Tengok televisyen sekali. Berjalan sekali. Bagaimana jika kita hidupkan amalan taklim dalam keluarga. Semoga Allah berkati rumah tangga kita semua. Jika Allah ingin beri bahagia tiada siapa dapat menahannya. Jika dia tarik bahagia tiada siapa dapat memberinya. Dialah pemilik segalanya,” katanya.
Terdahulu beliau berkongsi cerita mengenai Syafiq Kyle yang sudah lama ingin bertemu dengannya.
“Syukur Allah temukan,” katanya.










