KUANTAN: Kadar penggunaan katil tinggi di unit rawatan rapi (ICU) antara penghalang negeri ini beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Pahang sudah memenuhi semua kriteria termasuk kadar peratusan vaksinasi melebihi sasaran ditetapkan.
“Kita sudah memenuhi semua kriteria, kecuali satu iaitu kadar penggunaan katil di ICU masih tinggi. Saya sudah pun bangkitkan (perkara ini) kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dan Yang Berhormat KJ (Khairy Jamaluddin). Saya bagitahu dalam mesyuarat itu dan beliau (Khairy) minta bagi tempoh seminggu untuk semak balik.
“Saya kata mereka sakit, telah kena jangkitan Covid-19 ini sudah berada dalam ICU dan jangka masa untuk pulih ambil masa sehingga dua minggu. jadi bagaimana dengan mereka di luar (yang tidak terbabit dengan Covid-19) yang mahu teruskan kehidupan.
“Kadar vaksinasi kita dah lepas, kadar kebolehjangkitan pun bawah daripada satu. Semua kita sudah ada, cuma itulah satu yang belum lepas dan kita minta supaya Kementerian (Kesihatan) dan MKN (Majlis Keselamatan Negara) beri pertimbangan khas untuk kita beralih ke Fasa 3,” katanya dalam sidang akhbar selepas tinjauan pemberian vaksin Covid-19 kepada pelajar berusia 16 dan 17 tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin, di sini hari ini.
Sementara itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri yakin dapat mencapai imuniti kelompok sebelum hujung tahun ini walaupun data menunjukkan terdapat kira-kira 100,000 lagi penduduk belum mendaftar bagi mendapatkan vaksin.
“Setakat ini di Pahang lebih 83.8 peratus sudah mendapat dos pertama dan 61 peratus sudah lengkap menerima dua dos. Berhubung data yang mengatakan terdapat lebih 100,000 penduduk belum mendaftar, kita akan semak balik.
“Kemungkinan angka itu tidak tepat, mungkin ada penduduk Pahang mendapatkan suntikan vaksin di luar negeri ini. Mungkin di Lembah Klang, jadi data ini kita akan selaraskan semula.
“Begitu juga dengan program suntikan vaksin yang dijalankan secara besar-besaran. Ada yang dapat vaksin melalui MySejahtera, ada yang dapat melalui kuota tentera, kuota Felda, sumber (untuk mendapatkan vaksin) banyak dan disebabkan itu, ada yang kita ingat masih belum mendaftar sedangkan mereka sudah dapat vaksin,” katanya. – UTUSAN ONLINE