Judi haram di sebalik perniagaan kedai runcit - Utusan Malaysia

Judi haram di sebalik perniagaan kedai runcit

OSMAN Mamat (kanan) melihat kakitangan TNB memotong bekalan elektrik di premis yang terlibat perjudian atas talian di Kamunting, Taiping, Perak, hari ini. - FOTO/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Polis daerah ini memotong bekalan elektrik di enam buah premis yang menjalankan aktiviti perjudian di Kamunting, Aulong dan Taiping hari ini.

Operasi bersepadu itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) bermula pada pukul 10.18 pagi.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, operasi dijalankan mengikut Seksyen 21A(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 38 (1A) Akta Bekalan Elektrik 1990 pindaan 2001.

Menurutnya, sejak Januari hingga hari ini, terdapat 19 buah premis dikesan menjalankan aktiviti perjudian.

“Kebanyakannya berselindung di sebalik perniagaan kedai runcit, kedai ubat dan sebagainya.

“Polis dengan kerjasama TNB telah memotong bekalan elektrik di premis berkenaan kerana terlibat dalam kegiatan perjudian,” katanya kepada pemberita selepas operasi memotong bekalan elektrik di sebuah premis di Kawasan Perusahaan Kamunting dekat sini.

Menurut Osman, dalam Ops Dadu yang dijalankan sejak awal Januari lalu, polis telah melakukan 161 serbuan dan pemeriksaan ke atas premis yang disyaki menjalankan aktiviti perjudian.

Beliau berkata, antara aktiviti judi yang dikesan ialah loteri awam haram sebanyak 95 serbuan dengan tangkapan sebanyak 97 orang, judi catat taruh haram 23 serbuan dan 25 tangkapan, judi dalam bangunan lima serbuan dengan 19 tangkapan, judi tempat bebas tiga serbuan dan 15 tangkapan manakala judi atas talian pula dengan 35 serbuan melibatkan 37 tangkapan.

“Sebanyak 161 serbuan telah dilakukan dengan jumlah tangkapan keseluruhan yang membabitkan aktiviti ini seramai 193 orang dengan anggaran umur 21 hingga 70 tahun,” katanya.

Menurut Osman, selain pemotongan elektrik, pihak polis  turut membuat permohonan kepada Majlis Perbandaran Taiping (MPT) untuk membatalkan lesen perniagaan premis yang terlibat dengan aktiviti judi.

“Setakat ini, 10 lesen perniagaan telah dibatalkan oleh MPT, ” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya