PETALING JAYA: Peminat bola sepak tempatan mengkritik segelintir pemain yang didakwa mementingkan penampilan fesyen berbanding memperbaiki prestasi masing-masing sehingga gagal membantu skuad bawah 23 (B-23) mara ke suku akhir Piala Asia B-23.
Kekalahan dalam tiga perlawanan dan tersingkir dengan cara memalukan apabila gagal membawa pulang sebarang mata di pentas Piala Asia B-23 menimbulkan rasa tidak senang sehingga mengundang peminat bola sepak di negara ini mempersoalkan persiapan dan kredibiliti skuad negara
Perkara itu turut dipersetujui oleh legenda bola sepak negara, Datuk Hassan Sani yang melihat segelintir pemain lebih mementingkan gaya rambut berbanding prestasi di atas padang secara keseluruhan untuk mengharumkan nama negara.
“Betul, warna rambut tiada kaitan dengan prestasi, ini hak individu kalau dia nak rambut macam mana. Tetapi, orang kata biarlah sepadan dengan aksi di atas padang dan bantu skuad negara untuk menumpaskan lawan, bukan sekadar fesyen sahaja.
“Zaman saya dahulu, saya akui rata-rata berambut panjang, saya pun sama juga rambut panjang. Tetapi, anda nilai sendiri bagaimana kami di atas padang ketika itu, semuanya berikan yang terbaik dan jaringkan gol,” katanya.
Sementara itu, penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, ‘kehilangan’ bakat daripada program pembangunan menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dalam proses pencarian pemain berkaliber.
“Sekarang kita kena fikir semula tentang pembangunan bola sepak negara, bukan sekadar kumpul pemain dan hantar sertai kejohanan semata-mata. Kalau tidak, hasil sebegini (Piala Asia B-23) akan berulang pada masa akan datang.
“Kalau ikutkan kepada pemain yang ada di Akademi Mokhtar Dahari (AMD), sepatutnya pasukan B-23 sekarang adalah satu pasukan mantap dan solid dengan pemain tempatan yang berkualiti dan mampu memberi saingan.
“Malangnya sekarang, kita tidak mencapai apa yang diharapkan. Kualiti pemain akademi tidak membantu, jadi sesuatu harus dilakukan untuk mengelak bola sepak Malaysia terus jatuh pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN










