Pekan lama Kangar akan dihidupkan semula

Pekan lama Kangar akan dihidupkan semula

KERJA-kerja naik taraf di kawasan Kangar Street Art merupakan satu daripada inisiatif ke arah merealisasikan hasrat menghidupkan semula pekan lama Kangar, Perlis. - UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kawasan pekan lama Kangar di sini akan dibangun semula sebagai nadi Kangar bagi menjadi pemangkin pembangunan Perlis.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan negeri, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, cadangan menghidupkan semula aktiviti perniagaan di pekan lama Kangar sudah pun diambil kira dalam Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Kangar Perlis 2035 (RT MPKPs 2035) yang diwartakan pada 31 Mac 2022.

Katanya, melalui perancangan itu, beberapa hala tuju digariskan dalam mempertingkatkan daya saing perniagaan dan persekitaran pekan lama khususnya bandar Kangar.

“Cadangan nadi Kangar adalah satu daripada cadangan projek di bawah Hala Tuju 2, RT MPKPs 2035 yang bertujuan untuk mewujudkan satu zon pembangunan bercampur berkeluasan 1.73 hektar di kawasan meliputi bangunan pejabat MPK sedia ada, medan selera, dataran keris dan pasar lama Kangar.

“Selain itu, pembangunan ini juga meliputi kawasan tempat letak kenderaan dan persisiran Sungai Perlis (Jambatan Jalan Raja Syed Alwi hingga ke Jambatan Jalan Tuanku Syed Putra),” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di sini semalam.

Asrul Aimran berkata demikian menjawab pertanyaan dibangkitkan Gan Ay Ling (Indera Kayangan-PKR) berhubung perancangan kerajaan negeri untuk menghidupkan semula aktiviti perniagaan di pekan lama Kangar.

Dalam pada itu, Asrul berkata, cadangan nadi Kangar akan dibangunkan berfokuskan kepada pembangunan kawasan water front sebagai pemangkin keaktifan bandar Kangar sebagai sebuah bandar raya sejahtera.

“Selain itu, beberapa cadangan projek telah dicadangkan di bawah Hala Tuju 15, RT MPKPs 2035 bagi menyokong pengukuhan aktiviti ekonomi di pekan lama Kangar terutamanya di kawasan Kayangan Square hingga ke Taman Lencongan Dua,” katanya.

Di samping itu, Asrul berkata, beberapa projek dan inisiatif ke arah merealisasikan hasrat menghidupkan semula pekan lama Kangar dengan berpandukan perancangan digariskan di dalam RT MPKPs 2035 telah mula berjalan.

Ujarnya, antara pelaksanaan yang telah bermula adalah kerja naik taraf kawasan Kangar Street Art yang dilaksanakan baru-baru ini di samping beberapa projek lanskap dan pencahayaan dalam menarik tumpuan pengunjung di samping menjadikan kawasan itu lebih vibran.

“Selain itu, beberapa cadangan projek di dalam RT MPKPs 2035 di kawasan Pekan Lama Kangar juga sedang disediakan dengan kerjasama PLANMalaysia untuk tujuan permohonan peruntukan dan pelaksanaan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN