Jual kit ujian kendiri Covid-19 ikut harga siling - KPNDHEP

Jual kit ujian kendiri Covid-19 ikut harga siling

AIN Arjuna Aziz Zaman ketika melakukan operasi pemantauan jualan kit ujian kendiri Covid-19 di farmasi sekitar Seremban 2, Seremban, hari ini. - FOTO/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Rata-rata farmasi di Negeri Sembilan telah melakukan penyelarasan harga jualan kit ujian pantas antigen Covid-19 (kit ujian kendiri) pada harga siling RM19.90 seperti yang ditetapkan kerajaan. 

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, hasil pemantauan yang dilakukan oleh pasukan penguat kuasa KPNDHEP negeri pada 5 dan 6 September lalu mendapati sebanyak 16 premis yang diperiksa mematuhi harga jualan di peringkat runcit RM19.90. 

“Pemeriksaan tersebut telah dijalankan di farmasi sekitar Seremban, Kuala Pilah dan Port Dickson susulan pewartaan kit ujian kendiri sebagai barangan harga terkawal di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang berkuatkuasa 5 September lalu. 

“Setakat ini, kami belum menerima sebarang aduan daripada pengguna berkaitan harga kit ujian kendiri yang lebih tinggi di pasaran selain tiada laporan kit tiruan,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di sini hari ini. 

Beliau sebelum itu terlibat dalam operasi pematuhan harga dan bekalan kit ujian kendiri oleh KPDNHEP Negeri Sembilan di kawasan Seremban 2 di sini. 

Menurut Ain Arjuna, selaras dengan pewartaan tersebut, harga maksimum yang ditetapkan di peringkat borong adalah RM16 manakala di peringkat runcit adalah RM19.90. 

“Sebelum kerajaan tetapkan harga, kit ujian kendiri ini dijual pada harga antara RM35 hingga RM39.90 dan harga sekarang setengah daripada harga jualan. Berdasarkan maklum balas daripada pihak farmasi, mereka yang mendapatkan bekalan (kit ujian kendiri) pada harga tinggi sebelum ini telah mendapat rebat.

“Jadi, KPDNHEP Negeri Sembilan memuji tindakan segera yang diambil oleh peniaga-peniaga ini untuk mematuhi arahan yang dikeluarkan kerajaan,” katanya.

Jelas Ain Arjuna, seperti mana kelaziman dalam pelaksanaan kawalan harga, KPDNHEP telah membenarkan tempoh sehingga seminggu daripada tarikh kuatkuasa kepada peniaga dan semua pihak terlibat membuat penyesuaian serta penyelarasan harga.

“Untuk makluman, tujuan utama penguatkuasaan harga maksimum kit ujian kendiri ini adalah sebagai langkah prihatin bagi mengelakkan penjualan produk pada harga yang tidak dikawal.

“Penetapan harga maksimum ini juga membolehkan kit ujian kendiri ini dibeli pada harga mampu milik memandangkan alat ini menjadi satu keperluan utama bagi memantau risiko jangkitan Covid-19,” katanya.

Ain Arjuna berkata, selain itu pihaknya juga membuat pemantauan ke atas peniaga yang menjual secara dalam talian bagi memastikan barangan tersebut dijual pada harga ditetapkan.

“KPDNHEP Negeri Sembilan akan terus melakukan pemeriksaan harga dan bekalan kit ujian kendiri di pasaran melibatkan 16 kit ujian yang telah diluluskan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia (MDA).

“Tindakan tegas akan diambil terhadap kesalahan-kesalahan seperti menjual melebihi harga maksimum yang ditetapkan, tidak memaparkan harga dan petunjuk atau gambaran yang mengelirukan mengenai harga,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pengguna boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan peniaga yang tidak mematuhi undang-undang kepada pihak KPDNHEP melalui WhatsApp 019-2794317 atau talian 1 800 886 800.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN