Hina sahabat Rasulullah: Wadah gesa Nik Muhammad Zawawi diambil tindakan

Hina sahabat Rasulullah: Wadah gesa Nik Muhammad Zawawi diambil tindakan

NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh kerana menghina sahabat Nabi Muhammad SAW.

Timbalan Presidennya, Hasri Harun berkata, Wadah mengecam kenyataan Nik Muhammad Zawawi dalam ceramahnya yang seolah-olah menghina, merendahkan dan mempersendakan sahabat Rasulullah.

Beliau berkata, para sahabat adalah generasi terbaik umat Islam yang dipilih oleh Allah SWT untuk mendampingi, membantu serta menyampaikan risalah Islam yang suci kepada seluruh umat manusia.

“Wadah menggesa pihak berkuasa serta institusi berkaitan untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang sengaja menimbulkan kebencian terhadap tokoh-tokoh Islam yang mulia ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pasir Seputeh itu dilaporkan mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan empat sahabat Rasulullah iaitu Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Usman al-Affan dan Ali Abi Talib mempunyai sejarah hidup yang keji sebelum memeluk Islam.

Antara lain beliau mendakwa Sayidina Abu Bakar sebagai seorang ‘bapa ceti’ yang gemar memeras orang miskin semasa berada dalam zaman Jahiliyah, Sayidina Umar pula digambarkannya sebagai lelaki yang zalim serta suka berzina sebelum memeluk Islam.

Difahamkan kenyataan itu disampaikan dalam satu program ceramah politik di Kuala Terengganu, pada hujung minggu lalu.

Hasri berkata, sebarang usaha untuk mencemarkan nama para sahabat bukan sahaja bertentangan dengan adab Islam, malah boleh menimbulkan perpecahan dalam kalangan umat, menggugat keharmonian masyarakat dan menimbulkan kekeliruan atas kewibawaan sahabat yang berjasa dengan agama Islam.

“Apalah maksud dan tujuan menimbulkan dan membangkitkan sejarah lama para sahabat Nabi sebelum Islam walaupun faktanya juga masih diragui.

“Bukankah Allah Taala lebih mengetahui akan suasana dan keadaan mereka sehinggakan mereka berjaya bersama-sama Rasulullah SAW membangunkan Islam sehingga dinikmati hingga hari ini,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN