Tun M hanya ingatkan jangan ganggu hak Islam - Utusan Malaysia

Tun M hanya ingatkan jangan ganggu hak Islam

RUSDI OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU : Kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad di catatan blog beliau dilihat sengaja dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu dari luar yang cuba untuk mengeruhkan hubungan Malaysia dengan negara-negara bukan Islam.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rusdi Omar berkata, jika diteliti catatan tersebut, Dr. Mahathir tidak bermaksud untuk mengalakkan umat Islam mencetuskan keganasan, sebaliknya untuk mengingatkan bukan Islam agar tidak mengganggu-gugat hak orang Islam.

Katanya, kenyataan bekas Perdana Menteri itu sepatutnya diteliti secara menyeluruh bukannya menyoroti satu bahagian sahaja dan membuat andaian sendiri kononnya Dr. Mahathir cuba mengangkat keganasan.

“Tindakan pihak luar (negara bukan Islam) cuba memberi gambaran negatif terhadap Dr. Mahathir itu bukan perkara mengejutkan memandang pemimpin-pemimpin luar ini cukup kritikal dengan Dr. Mahathir.

“Hal demikian disebabkan ketegasan Dr. Mahathir selama ini dalam mempertahankan umat Islam yang ditindas. Dr. Mahathir tidak pernah beri muka kepada pemimpin-pemimpin bukan Islam ini khususnya kepada mereka yang anti-Islam,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Terdahulu, salah satu daripada 13 ciapan yang dibuat Dr. Mahathir disembunyikan pihak Twitter kerana kononnya mengangkat keganasan.

Tindakan itu dipercayai susulan kritikan keras Dr. Mahathir terhadap kejadian pembunuhan di Perancis yang dikaitkan dengan agama Islam dan Nabi Muhammad SAW.

Sebelum ini, Presiden Perancis, Emmanuel Macron mencipta kontroversi apabila beliau secara sinis menyatakan Islam adalah sebuah agama yang dilanda krisis di seluruh dunia.

Kenyataan itu dipercayai dibuat sebagai respons kepada pembunuhan seorang guru, Samuel Paty di luar sekolahnya yang terletak di pinggir bandar Paris.

Ini selepas mangsa menunjukkan karikatur Nabi Muhammad SAW dalam kelas semasa mengajar topik mengenai kebebasan bersuara.

Sementara itu, Rusdi berkata, pemimpin-pemimpin luar bukan Islam sepatutnya lebih sensitif apabila berbicara atau menyentuh mengenai isu-isu berkaitan Islam.

“Jangan hina orang-orang tertentu, terutamanya junjungan agung Nabi Muhammad SAW kerana tindakan itu hanya boleh mengeruhkan hubungan sesama manusia dan negara.

“Dalam soal ini, saya cukup hormat Dr. Mahathir yang tidak memberi muka kepada pemimpin-pemimpin luar bukan Islam yang cuba membuat provokasi terhadap Islam. Kita kena jaga maruah agama Islam agar tidak ditindas,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN