Semarak patriotisme melalui sirah Nabi Muhammad

Semarak patriotisme melalui sirah Nabi Muhammad

Umat Islam disaran menangguhkan tunai umrah dan haji sekiranya keselamatan terjejas susulan krisis Asia Barat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BULAN Ogos sentiasa membawa makna besar buat rakyat Malaysia. Tanggal 31 Ogos 1957 bukan sekadar catatan sejarah, tetapi lambang perjuangan dan pengorbanan generasi terdahulu yang membebaskan tanah air daripada belenggu penjajahan. Sambutan kemerdekaan seharusnya menjadi ruang untuk kita merenung kembali sejauh mana semangat cinta negara berakar dalam jiwa kita.

Maksud Patriotisme dan kepentingannya
Patriotisme ialah semangat cinta, setia dan bangga terhadap negara. Ia merangkumi kesanggupan berkorban demi tanah air, menghormati undang-undang, memelihara keamanan serta menyumbang kepada pembangunan negara. Dalam konteks Islam, patriotisme juga bermakna seseorang mesti mengamalkan nilai-nilai Islam dalam bernegara seperti berkhidmat untuk masyarakat, menegakkan keadilan, menolak penindasan dan hidup harmoni dengan pelbagai kaum.
Semangat ini amat penting pada era kini, ketika negara berdepan cabaran globalisasi, perpecahan masyarakat dan ancaman ideologi ekstrem. Tanpa patriotisme, kedaulatan negara sukar dipertahankan.

Sirah Nabawiyah sebagai Panduan
Sirah Nabawiah merupakan teladan agung dalam memupuk dan menyuburkan semangat patriotisme. Nabi Muhammad SAW sangat mencintai tanah kelahirannya, iaitu Mekah al-Mukarramah. Semasa meninggalkan negerinya pada malam Hijrah, Nabi SAW bersabda: “Demi Allah! Sesungguhnya engkau (wahai Mekah) adalah sebaik-baik bumi Allah dan bumi paling Dia cintai. Kalaulah bukan kerana aku dikeluarkan darimu, nescaya aku tidak akan keluar darimu.” (Riwayat al-Tirmizi).

Selepas Hijrah, setelah dilantik sebagai pemimpin tertinggi negara Islam Madinah al-Munawwarah, Baginda menumpahkan sepenuh cintanya kepada negara dan mendidik rakyatnya mencintai negara. Segala pendekatan Nabi SAW dalam membina, membangun dan mempertahankan kedaulatan Madinah adalah bukti cinta baginda yang mendalam terhadap negara. Nabi SAW pernah berdoa: “Ya Allah! Jadikanlah kami mencintai Madinah sebagaimana kami mencintai Mekah, malah lebih dari itu” (Riwayat al-Bukhari).

Memperkukuh perpaduan dan mencegah perpecahan
Langkah awal Nabi SAW setelah tiba di Madinah ialah mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar. Baginda juga menyatupadukan penduduk asal Madinah yang terdiri daripada Aus, Khazraj, Yahudi dan suku-suku lain di bawah lembayung Perlembagaan Madinah. Nabi SAW segera mencegah sebarang anasir yang membawa kepada perpecahan. Sebagai contoh, Abu Daud meriwayatkan bahawa dalam satu persinggahan, para sahabat nabi berpecah mengikut kelompok-kelompok kecil di lereng-lereng bukit atau lembah-lembah. Nabi SAW menegur mereka: “Sesungguhnya perpecahan kamu di jalan-jalan dan lembah-lembah itu adalah dari syaitan”. Mendengar teguran ini, para sahabat nabi tidak lagi berpecah-pecah. Mereka akan duduk setempat apabila singgah di mana-mana persinggahan.

Dalam konteks negara kita, walaupun kita hidup berbilang bangsa dan agama, sebarang unsur yang membawa kepada perpecahan mesti dijauhi. Elemen kebencian, provokasi serta sentimen perkauman dan keagamaan perlu dibanteras supaya tidak menjejaskan perpaduan yang dimiliki.

Mencintai negara dan mempertahankannya
Kecintaan Nabi SAW terhadap negara tergambar dalam peristiwa Perang Khandak pada tahun kelima Hijrah. Menurut penulis al-Raheeq al-Makhtum, peperangan ini bermula pada bulan Syawal dan berakhir pada Zulkaedah. Nabi SAW bersama 3,000 sahabat menggali parit selama sebulan sebagai kubu pertahanan Madinah daripada serangan 10,000 tentera musuh. Baginda turut menggerakkan seluruh penduduk Madinah, termasuk Muslimin, Yahudi Bani Quraizah dan golongan munafik untuk mempertahankan kota suci itu daripada tentera bersekutu Musyrikin Mekah, Ghatfan dan Yahudi Bani Nadhir.

Nabi SAW sendiri turun bersama rakyat, menanggung lapar dan kepayahan demi mempertahankan Madinah al-Munawwarah.

Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu bersama-sama menzahirkan kecintaan kepada negara, bermula dengan sekecil-kecil perkara seperti mengibarkan Jalur Gemilang sehinggalah sebesar-besar perkara seperti memupuk perpaduan, membangunkan ekonomi dan berkorban demi mempertahankan kedaulatannya.

Menghargai nikmat kemerdekaan
Kemerdekaan adalah anugerah Allah SWT yang perlu dipelihara dengan penuh kesyukuran. Nabi SAW mengingatkan rakyat Madinah agar menghargai nikmat kemerdekaan. Orang Yahudi pernah cuba mencetuskan semula permusuhan Aus dan Khazraj dengan mengungkit peperangan Bu’ath dan lain-lain. Kedua-dua kabilah hampir berperang, namun Nabi SAW segera menegah mereka dan menyeru supaya menjaga persaudaraan. Ibnu Kathir menyebutkan bahawa Nabi SAW membacakan ayat al-Quran yang bermaksud:

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu, maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu. Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.” (Ali ‘Imran: 103).

Begitu juga hari ini, seluruh rakyat Malaysia perlu mensyukuri nikmat kemerdekaan serta sentiasa memeliharanya kerana perpecahan sesama kita hanya akan membuka ruang kepada penjajahan semula. Penjajahan adalah mimpi ngeri bagi kita semua.

Bersempena bulan kemerdekaan ini, marilah kita menyemarakkan kembali semangat patriotisme. Suburkan kecintaan kepada negara dalam diri, keluarga dan masyarakat kita. Jadikan junjungan kita Nabi Muhammad SAW sebagai teladan dalam mencintai negara, mempertahankan kemerdekaan dan memajukannya. – UTUSAN

DR. Mohd. Arubi Ismail ialah pensyarah universiti di Kolej Pertama Insan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN