Tiga lelaki didakwa membunuh guna parang - Utusan Malaysia

Tiga lelaki didakwa membunuh guna parang

TIGA lelaki termasuk seorang yang didakwa menganggotai kumpulan kongsi gelap didakwa di Mahkamah Majistret Tangkak di sini hari ini kerana membunuh seorang lelaki menggunakan parang pada 13 Mac lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGKAK: Tiga lelaki termasuk seorang ahli pertubuhan kongsi gelap didakwa di Mahkamah Majistret Tangkak di sini, hari ini atas pertuduhan menetak seorang lelaki sehingga maut menggunakan parang di khalayak ramai, dua bulan lalu.

Tertuduh, Pan Wei Siang, 24; Henry Lau Yi Sheng, 26; dan Tan Ah Chai, 32, bagaimanapun hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Lee Kim Kiat.

Tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh kerana pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berada dalam bidang kuasa mahkamah tinggi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas didakwa membunuh Tong Wee Sheng, 38, di tepi sebuah rumah beralamat di Batu 9, Bukit Kangkar, Sungai Mati di sini, pada pukul 7.20 petang, 13 Mac lalu.

Atas kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun serta sebatan tidak lebih 12 kali sekiranya tidak dikenakan dihukum gantung.

Pada prosiding itu, pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Sapian manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam sementara Mohd Razak Shariff bertindak sebagai peguam pemerhati keluarga mangsa.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu memandangkan pihaknya masih belum menerima laporan forensik dan bedah siasat serta tidak menawarkan ikat jamin terhadap tertuduh.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 14 Julai depan bagi serahan dokumen.

Di mahkamah sama, Ah Chai turut berdepan satu lagi pertuduhan kerana menganggotai pertubuhan ‘Hong Hong San’ yang tidak didaftarkan.

Kesalahan itu dilakukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak, pada pukul 7.45 petang, 28 April lalu menyebabkannya didakwa mengikut Seksyen 7 Akta Pertubuhan 1966 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 43 akta sama.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah dengan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 9 Jun ini untuk serahan dokumen serta lantikan peguam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN