Johor kemuka SOP skim DCA untuk buka sempadan - Utusan Malaysia

Johor kemuka SOP skim DCA untuk buka sempadan

HASNI MOHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan mengemukakan cadangan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik bagi pembukaan semula sempadan negeri itu dengan Singapura yang ditutup sejak 18 Mac tahun lalu.

Prosedur Operasi Standard (SOP) berhubung perkara itu juga akan diutarakan dalam mesyuarat berkenaan selepas ia dipersetujui Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Johor, hari ini.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, perkara yang dipersetujui untuk dicadangkan dalam SOP pembukaan sempadan itu adalah untuk menguatkuasakan Pengaturan Perjalanan Harian (DCA) bagi membolehkan rakyat berulang-alik dengan lebih mudah.

“Mesyuarat JKKN Johor hari ini juga bersetuju untuk mengangkat cadangan SOP pembukaan sempadan iaitu untuk DCA kepada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengikut pengumuman pada awal November tahun lalu, inisiatif DCA iaitu skim rentas sempadan ketiga selepas Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) dicadangkan kepada kerajaan Pusat.

Melalui skim itu, DCA akan mewujudkan gelembung perjalanan yang kebenarannya akan dibuat pada setiap 10 hari selepas permohonan diterima dengan rakyat dari kedua-dua negara dapat berulang-alik merentasi sempadan pada setiap hari sama ada untuk pekerjaan atau tujuan pendidikan.

Namun, inisiatif itu terpaksa ditangguhkan ekoran kes positif Covid-19 di negara ini yang kembali mencanak tidak lama kemudian.

Malah, pada 1 Februari lalu, Singapura turut menggantung RGL dengan tiga negara termasuk Malaysia selepas kerajaan republik itu menyatakan perlu memantau situasi global dan menyesuaikan langkah-langkah sekatan sempadan bagi menangani risiko kes import Covid-19.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Hasni berkata, kerajaan negeri juga berusaha untuk memperkukuh lagi peratusan vaksinasi di negeri itu dengan cuba mendapatkan data pekerja Johor yang telah menerima suntikan vaksin di Singapura agar dapat dikemas kini dalam MySejahtera.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang bersedia menghubungi rakan sejawatan beliau di Singapura untuk membantu mendapatkan data rakyat Malaysia yang telah menerima suntikan vaksin di negara berkenaan.

Dalam pada itu, seiring peralihan ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), Hasni berkata, Johor mampu meningkatkan lagi usaha pemulihan ekonomi dengan lebih banyak premis perniagaan dapat beroperasi semula, sekali gus mampu menggerakkan semula aktiviti ekonomi yang terjejas sebelum ini.

“Malah, apabila lebih banyak pusat pelancongan, taman tema dan resort dibuka semula, aktiviti ekonomi akan lebih rancak dan memberi impak positif terhadap pendapatan rakyat, negeri dan negara.

“Kerajaan negeri turut berharap kerajaan Persekutuan dapat melaksanakan Gelembung Pelancongan ke pusat-pusat peranginan di Desaru, Kota Tinggi dan Kepulauan Mersing bagi melonjakkan lagi sektor pelancongan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya