Siapa kata pelakon pendek tidak boleh berjaya? - Khenobu - Utusan Malaysia

Siapa kata pelakon pendek tidak boleh berjaya? – Khenobu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon dan penggiat teater, Khenobu mengakui faktor ketinggian sering menjadi antara kritikan yang diterimanya, terutama apabila membabitkan peluang memegang watak hero.

Menurut Khenobu atau Mohammad Faridh Mohd. Yasin, 33, dia tidak pernah menganggap perkara itu sebagai alasan untuk berputus asa, sebaliknya memilih untuk terus fokus terhadap bakat dan kemampuan lakonannya.

“Malaysia ada satu budaya di mana ramai pengarah suka pelakon yang tinggi dan kacak. Itu memang cita rasa masing-masing dan saya faham perkara itu.

“Tapi saya selalu berpendapat, ramai juga pelakon yang pendek sebenarnya ada pengalaman dan bakat yang sangat hebat. Cuma saya mungkin tidak masuk kategori ‘budak kacak’ yang sering dicari.

“Saya tidak terasa jika ada yang komen mengenai ketinggian saya. Siapa kata orang pendek tidak boleh berjaya? Ramai sahaja orang-orang pendek di luar sana yang berjaya. Yang paling penting adalah keyakinan diri itu perlu ada,” katanya.

Khenobu mengulas perkara itu ketika ditemui pada sidang media Teater Tarik Picu di Nero Space PJPAC, One Utama, hari ini.

Tambah pelakon filem Narsata itu, dia menerima keadaan fizikalnya seadanya dan percaya setiap individu mempunyai rezeki masing-masing dalam industri.

“Kalau ada yang berfikir saya akan putus asa kerana saya ketinggian, tidak. Saya terima kenyataan yang saya pendek. Mungkin orang cakap saya hebat berlakon, cuma ketinggian saya itu saja menjadi kekurangan.

“Tetapi pada saya mereka memuji dan sedar bakat saya, itu sudah mencukupi. Ketinggian itu mungkin Allah sudah beri sebegini, saya terima seadanya. Tapi saya tetap teruskan. Saya mewakili mereka untuk teruskan karya saya sebagai pelakon di Malaysia ini,” ujarnya.

Mengulas mengenai penglibatannya dalam pementasan teater Tarik Picu, Khenobu bakal memegang watak Elle menerusi naskhah arahan Fazleena Hishamuddin.

Selain Khenobu, teater di bawah produksi, Mask Team itu turut dibintangi Jay Iswazir, Arfie Shah, Idan Aedan dan Amalina Arham

Tiket teater yang bakal dipentaskan pada 16 hingga 19 Julai depan itu akan mula dijual di laman sesawang www.onetix.com.my dengan harga RM58, RM88 dan RM108 pada 16 Jun ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN