JKM kesan waris bayi, kanak-kanak perempuan - Utusan Malaysia

JKM kesan waris bayi, kanak-kanak perempuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengesan waris seorang bayi lelaki dan kanak-kanak perempuan yang ditinggalkan dalam kotak perlindungan bayi di Orphan Care Petaling Jaya, dekat sini.

Jurucakap JKM Daerah Petaling berkata, bayi berusia sebulan dikenali Muhammad Aisy Danial itu ditemukan kira-kira pukul 6.30 petang, 24 Ogos lalu.

“Bayi tanpa dokumen pengenalan diri itu ditinggalkan dengan berpakaian dan dibaluti kain lampin putih.

“Selain itu, terdapat barang keperluan lain seperti lampin pakai buang dan botol susu bayi,”  katanya Utusan Malaysia hari ini.

Menurutnya, kanak-kanak dikenali Hana Aafiyah Ayusnizam Abdullah, 2, turut ditinggalkan di lokasi sama pada pukul 10.57 pagi, 28 Ogos 2019.

“Kanak-kanak perempuan itu turut ditinggalkan dalam kotak perlindungan bayi di pusat berkenaan. Dia ditemukan dalam keadaan dibaluti kain bedong bercorak selepas dilahirkan,” katanya.

Jelas jurucakap itu, kedua-duanya dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk pemeriksaan lanjut.

“Mereka kini ditempatkan sementara di bawah jagaan penjaga yang dilantik oleh  Mahkamah Bagi Kanak-Kanak Petaling Jaya,” ujarnya.

Justeru, JKM meminta waris termasuk ibu kandung mereka segera tampil bagi urusan hal penempatan dan penjagaan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenainya boleh menghubungi Unit Kanak-Kanak JKM  Petaling di talian 03-78422584/ 2587  atau 019-2227471. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN