FLORIDA: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, memberi bayangan perang Russia-Ukraine berpotensi ditamatkan dalam tempoh beberapa minggu lagi, sekiranya Russia bersetuju dengan perjanjian damai yang sedang diusahakan.
Trump berkata, walaupun rundingan semakin hampir mencapai persetujuan, tiada jaminan perang yang berlarutan sejak Februari 2022 akan berakhir jika Moscow enggan berkompromi, sekali gus mendorong kemungkinan konflik terus berpanjangan.
Perkara itu dimaklumkan Trump susulan pertemuannya dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, di Florida kelmarin, ketika Russia masih agresif melancarkan serangan ke atas kawasan awam di Kyiv.
Sama seperti pertemuan terakhir Zelensky dengan Trump pada Oktober lalu, Presiden Russia, Vladimir Putin, turut bercakap sejurus sebelum itu melalui panggilan telefon dengan pemimpin AS berkenaan, yang kemudian segera menegaskan Moscow ‘serius’ mengenai keamanan walaupun serangan berlaku.
“Saya benar-benar percaya, tuan Presiden, mungkin (perjanjian damai) lebih dekat daripada sebelum ini dengan kedua-dua pihak. Semua mahu ia ditamatkan,” kata Trump sambil berdiri di sebelah Zelensky di bilik teh di estet Mar-a-Lago miliknya.
Selepas rundingan mereka, Zelensky dan Trump turut mengadakan perbualan telefon bersama beberapa pemimpin utama Eropah, yang dilaporkan semakin bimbang sebarang keputusan damai boleh memberi kelebihan strategik kepada Russia.
Presiden Ukraine itu berkata, beliau bersama pemimpin Eropah mungkin akan kembali mengadakan rundingan bersama Trump di Washington pada Januari depan.
Zelensky dilihat lebih berhati-hati dan kekal sopan sepanjang lawatannya, berikutan sejarah pertemuan tegang di Rumah Putih pada 28 Februari lalu, apabila beliau ditegur secara terbuka oleh Trump dan Naib Presiden, JD Vance.
KONSESI WILAYAH
Walaupun menunjukkan keyakinan tinggi terhadap prospek damai, Trump tidak memperincikan kemajuan sebenar rundingan, sebaliknya mengulangi kritikan terhadap penyandang terdahulu, Joe Biden, yang menyalurkan berbilion dolar bantuan pertahanan kepada Ukrainse, serta menekankan hubungan baiknya dengan Putin.
Trump mengakui masih wujud perbezaan ketara antara Kyiv dan Moscow berhubung isu wilayah.
Pelan semasa, yang disemak semula selepas berminggu-minggu rundingan sengit AS-Ukraine, mencadangkan menghentikan perang di barisan hadapan semasa di wilayah timur Donbas, selain menubuhkan zon bebas tentera.
Namun Russia sejak sekian lama menuntut konsesi wilayah.

– AFP
“Ia masih belum diselesaikan, tetapi semakin hampir. Ini isu yang sangat sukar, namun saya percaya ia akan dapat diselesaikan,” kata Trump.
Beliau turut menawarkan diri untuk berucap di Parlimen Ukraine bagi mempromosikan pelan tersebut, cadangan yang dilihat sukar direalisasikan, namun segera disambut baik oleh Zelensky.
Zelensky sebelum ini menyuarakan keterbukaan terhadap pelan AS yang disemak semula, menandakan pengakuan paling jelas Kyiv mengenai kemungkinan konsesi wilayah, walaupun keputusan muktamad perlu mendapat kelulusan pengundi Ukraine melalui referendum.
Sementara Russia masih belum menunjukkan sebarang isyarat mahu berkompromi, ketika Moscow melihat harapan daripada kemajuan perlahan tetapi berterusan, yang dicapai sepanjang empat tahun pertempuran menentang Ukraine.
Dalam kenyataan mengenai rundingan antara Putin dan Trump, Kremlin menggesa Kyiv membuat ‘keputusan berani’ dengan segera menarik balik tenteranya dari wilayah Donbas, sambil menyifatkan pemimpin Eropah sebagai penghalang utama kepada usaha damai.
“Russia dan Amerika berkongsi pendirian sama iaitu cadangan Ukraine dan Eropah untuk gencatan senjata sementara hanya akan memanjangkan konflik serta membawa kepada penyambungan semula pertempuran,” kata penasihat diplomatik Kremlin, Yuri Ushakov, kepada pemberita.
90 PERATUS DIPERSETUJUI UKRAINE
Penasihat Trump sebelum ini mengemukakan idea untuk menawarkan jaminan keselamatan seperti Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) kepada Ukraine, yang secara teorinya mewajibkan negara anggota pakatan itu bertindak secara ketenteraan jika Russia melancarkan serangan baharu.
Zelensky berkata, rangka kerja keamanan yang dibentangkan Trump sudah 90 peratus dipersetujui dan jaminan keselamatan AS-Ukraine pula dipersetujui sepenuhnya.
Beliau berkata, kedua-dua pihak kini masih memuktamadkan ‘pelan kemakmuran’ untuk Ukraine serta susunan pelaksanaan pelbagai langkah dalam perjanjian berkenaan.
Bagaimanapun, Russia secara tegas menolak sebarang usaha membawa bekas republik Soviet itu menyertai NATO.
Dalam serangan terbaharu menggunakan dron dan peluru berpandu, Russia membedil infrastruktur tenaga Ukraina menyebabkan ratusan ribu penduduk terputus bekalan elektrik dan pemanas ketika suhu berada pada tahap beku.
“Jika pihak berkuasa di Kyiv tidak mahu menyelesaikan perkara ini secara aman, kami akan menyelesaikan semua masalah melalui cara ketenteraan,” kata Putin pada Sabtu lalu.– AFP










