Jenazah Azrin selamat dikebumikan  - Utusan Malaysia

Jenazah Azrin selamat dikebumikan 

NOR Aqila Syafiqa Safuan menyiram air mawar di atas pusara Allaharyam Mohamad Azrin Mohamad Isa di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pinang Dalam, Laguna, Sungai Petani, Kedah. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Jenazah anggota Tentera Darat Malaysia dari 10 Briged Kompeni Pandura (Para), Allahyarham Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa, 27, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pinang Dalam, Laguna di sini, hari ini.  

Majlis pengkebumian jenazah anggota Tinjau  yang ditemukan lemas selepas hilang ketika menjalani latihan penyusupan di Sungai Pahang semalam disempurnakan dengan istiadat ketenteraan termasuk kawalan kehormatan jenazah.

Jenazah Mohamad Azrin tiba di tanah perkuburan itu pada pukul 1.22 petang dan selesai dikebumikan kira-kira 40 minit kemudian.

Istiadat pengkebumian itu melibatkan anggota dari Unit 19 Rejimen Askar Melayu Diraja Markas Briged Keenam Infantri Malaysia, Kem Lapangan Terbang Tentera Darat  di sini.

Sebelum itu jenazah dibawa dengan van tiba di Surau Al-Firdaus di sini untuk disolatkan pada pukul 12.40 tengah hari.

Suasana pilu menyelubungi ahli keluarga termasuk isteri arwah, Nor Aqila Syafiqa Safuan, 22, pada sepanjang proses pengkebumian itu berlangsung.

Jenazah Allahyarham sebelum itu tiba  di Butterworth, Pulau Pinang pukul 11.40 pagi dengan menggunakan pesawat C130  milik Tentera Udara Diraja Malaysia dari Pangkalan Udara  Kuantan, Pahang.

Yang hadir sama Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri  Zamrose Mohd. Zain dan Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad.

Mayat Mohamad Azrin ditemukan penduduk di Kampung Serengkam, Maran, Pahang kira-kira 70 kilometer dari lokasi kejadian kira-kira pukul 8 pagi semalam.

Mohamad Azrin dipercayai lemas selepas hilang di Sungai Pahang di Kampung Batu Bor di Bera pukul 4.40 petang, 29 Ogos lalu.

Mohamad Azrin dipercayai hilang dan lemas ketika menjalani latihan penyusupan menyeberangi sungai bagi Eksesais Para Predator Siri 1/2021. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN