KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melibatkan enam negeri sehingga 7 malam ini.
MetMalaysia berkata, kawasan terjejas di Kedah melibatkan Kulim dan Bandar Baharu, diikuti seluruh Pulau Pinang, selain beberapa daerah di Perak iaitu Kerian, Manjung, Bagan Datuk serta Larut, Matang dan Selama.
Selain itu, katanya, amaran cuaca buruk itu turut dikeluarkan bagi beberapa kawasan di Johor, membabitkan Pontian, Kulai dan Johor Bahru.
“Di Sarawak, kawasan terlibat ialah Kuching (Bau dan Kuching), Serian, Samarahan (Samarahan dan Asajaya) serta Kapit (Song, Kapit dan Bukit Mabong).
“Di Sabah, amaran dikeluarkan melibatkan kawasan Pedalaman (Nabawan dan Tambunan), Pantai Barat (Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran, Ranau dan Kota Belud), selain Tawau dan Kudat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah MetMalaysia, amaran tersebut dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan berlakunya ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi satu jam.
“Amaran ribut petir merupakan amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran,” katanya.
Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada, mengelakkan aktiviti luar yang berisiko serta mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui saluran rasmi MetMalaysia. – UTUSAN










