Dimasak penuh kasih sayang, halal di Positano Risto

Dimasak penuh kasih sayang, halal di Positano Risto

PIZA La Stella antara menu utama di Positano Risto
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASAK dengan penuh kasih sayang. Itu yang tersemat dalam diri Francesca Calamita setiap kali memulakan tugas sebagai cef di restoran Itali, Positano Risto.

“Masak dengan sepenuh hati. Makanan Itali, budaya Itali, semuanya dilakukan dari hati,” kata Francesca kepada saya dan keluarga yang berkunjung ke situ, baru-baru ini.

FRANCESCA Calamita (kanan) dan Luca Santoro kedua-duanya berasal dari Itali.

Francesca yang berasal daripada Bari berkata, restoran itu memang khusus menyajikan masakan asli Itali. Tepung, keju dan ramuan serta bahan-bahan digunakan dalam masakan datang dari negara berkenaan.

Lebih membuatkan dia lebih bersemangat dalam kerjayanya apabila masakan Itali diiktiraf sebagai warisan budaya istimewa oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), baru-baru ini. Pengiktirafan tersebut membuatkannya begitu bangga dan dia berazam mahu meneruskan legasi kulinari Itali di Malaysia.

 

Positano Risto terletak di Publika, Kuala Lumpur menjadi pilihan kami kerana ia merupakan restoran Itali yang seratus peratus dimiliki orang Islam. Lagi pula baru balik bercuti dari Itali, tekak masih mengidam piza, pasta dan lasagna!

Pada mulanya kami membuat tempahan meja di bahagian luar restoran, di ruang terbuka berbumbungkan daun-daun pokok. Malangnya, hujan lebat maka terpaksalah kami beralih ke dalam.

Memasuki restoran ini mengembalikan kenangan manis semasa bercuti ke Itali. Mana tidaknya, pada dinding ada gambar besar pemandangan indah Positano pada waktu malam, iaitu bandar yang kami kunjungi di pantai Amalfi.

Menurut Francesca, hidangan istimewa di situ adalah piza dan pasta. Paling laris, Spaghetti Carbonara dan La Stella.

Kami pesan piza La Stella. La Stella dalam bahasa Itali bermaksud bintang. Bentuknya juga seperti bintang dengan lapan penjuru diperbuat daripada kerak sourdough (roti masam) berintikan peperoni, hirisan daging, arugula, burrata dan sos tomato.

Kami berpeluang melihat sendiri proses piza yang dipesan disediakan oleh kru restoran bermula daripada menguli tepung sehinggalah dibawa keluar dari ketuhar.

 

Untuk pasta, kami pilih Spaghetti Carbonara iaitu hidangan klasik Rom dengan sos telur kaya berkrim, Parmigiano-Reggiano yang merupakan keju Itali dihasilkan daripada susu lembu diperam, bakon daging lembu rangup dan telur rebus lembut di atasnya.

Kami juga pesan Lasagna Classica terdiri daripada lapisan-lapisan pasta telur buatan sendiri, Ragu iaitu sos daging yang dimasak perlahan-lahan dengan tomato dan rempah ratus, sos bechamel berkrim serta mozarela cair dihiasi keju masin Grana Padano.

Di sini tidak dihidangkan minuman beralkohol. Kami pilih Lychee De Menta (puri buah laici, jus limau, daun pudina, soda), The Portofino (strawberi, pic, teh Earl Grey), Leonardo (koktel Blue Lagoon, ekstrak lemon, hirisan lemon, Sprite), Amalfi Lemonade (sirap lemon-limau nipis, oren kering matahari, grenadin, soda) dan milkshake The Ferrero Rocher.

Pencuci mulut pula kami cuba Tiramisu terdiri daripada biskut jari yang direndam kopi, krim mascarpone (keju krim) dan meringue, dihiasi parutan coklat gelap serta ditabur serbuk koko. Istimewanya di Positano Rico,Tiramisu disediakan di sebelah meja kita.

Bagi menyesuaikan dengan selera masyarakat tempatan, Positano Risto menyediakan beberapa menu pedas seperti piihan spageti Aglio Olio Ai Frutti Di Mare, Linguine Vongole, Al Nero Di Seppia, Allo Scoglio dan Alla Puttanesca serta piza-piza Salame Piccante, Carnivora dan Diavola.

POSITANO RISTO

Lokasi: Block C1, Lot 2, Aras G3, Publika Shopping Gallery, Solaris Dutamas, No. 1, Jalan Dutamas 1, 50480 Kuala Lumpur.
Operasi: Setiap hari dari pukul 11 pagi hingga 10 malam.
Hidangan istimewa: Spageti Carbonara, Piza La Stella.

Sementara itu, Pengurus restoran, Luca Santoro berkata, pembukaan Positano Risto terbit daripada kecintaan abadi pemiliknya kepada hidangan Itali asli yang halal. Setiap kali mengembara ke negara-negara Eropah, dia hanya boleh menikmati fish and chip, makanan India dan hidangan nasi.

“Jadi, pemilik restoran ini mengambil keputusan membuka Positano Risto untuk menyediakan masakan Itali yang halal.

“Ada resipi asal yang kami ubahsuai supaya boleh dimakan oleh orang Islam. Contohnya, dalam hidangan carbonara ada daging babi, kami gantikan dengan daging lembu,” jelasnya yang juga seorang Muslim dari Genoa.

Positano Risto dibuka setiap hari dari pukul 11 pagi hingga 10 malam. Ruang makannya boleh memuatkan kira-kira 70 orang pada satu-satu masa.
Restoran pertama Positano Risto mula beroperasi di Singapura pada 2017. Setahun kemudian, cawangan Kuala Lumpur pula dibuka. Kini ia mempunyai satu lagi cawangan iaitu di IOI City Mall, Putrajaya.

Bagi yang sukakan hidangan Itali asli yang boleh dinikmati tanpa ragu-ragu, apa kata kita menjamu selera di Positano Risto. Buon appetito! (selamat menjamu selera).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN