GEORGETOWN: Penduduk Pulau Pinang diminta tidak panik dan berhenti menularkan mesej menerusi media sosial kononnya negeri ini akan dikenakan perintah kawalan pergerakan penuh (total lockdown) sekali lagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng berkata, pihaknya mendapati ketika ini banyak mesej suara terdiri daripada beberapa bahasa telah tular dalam media sosial mendakwa Pulau Pinang akan dikenakan ‘lockdown’ 2.0 mulai esok.
Jelasnya, perkara itu adalah tidak benar dan pengumuman ‘lockdown’ terhadap mana-mana negeri hanya akan diumumkan secara rasmi oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Dalam pada itu beliau menjelaskan, apa yang dibangkitkan beliau berkenaan PKP ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Rabu lalu adalah cadangan untuk kerajaan negeri mengkaji secara serius sama ada Pulau Pinang boleh melaksanakan ‘total lockdown’ dua minggu seperti PKP 1.0.
“Ia supaya dapat memutuskan rangkaian jangkitan dan menurunkan kes serta menghalang sistem perubatan awam daripada lumpuh sepenuhnya.
“Dalam perbahasan DUN itu juga saya menyatakan satu perkara penting iaitu orang ramai perlu ada disiplin diri (self discipline) yang tinggi dalam mematuhi prosedur standard operasi (SOP) dengan ketat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Lai Heng, usaha melawan Covid-19 adalah tanggungjawab bersama antara rakyat dan kerajaan dan ketika pandemik ini, petugas barisan hadapan dan sistem perubatan negara telah letih sekali gus memerlukan kerjasama semua.
“Sekali lagi saya mohon jangan menularkan apa-apa mesej yang tidak pasti,” katanya.










