SAN SALVADOR: Kira-kira 490 individu yang didakwa ahli geng pengganas Amerika Tengah, Mara Salvatrucha (MS-13), termasuk beberapa pemimpin utamanya dibicarakan secara beramai-ramai.
Perbicaraan menerusi persidangan video itu diadakan di Pusat Penahanan Anti-Keganasan (CECOT), sebuah penjara mega di Tecoluca, El Salvador pada Isnin atas pertuduhan ribuan kes pembunuhan.
Pejabat Peguam Negara dan pihak mahkamah menyatakan perbicaraan itu sebagai sebahagian daripada tindakan keras kuku besi Presiden Nayib Bukele terhadap kumpulan kongsi gelap di negara berkenaan.
El Salvador kini sedang melaksanakan perbicaraan besar-besaran melibatkan ribuan suspek anggota kumpulan geng. Kebanyakan daripada mereka telah meringkuk di penjara selama bertahun-tahun tanpa sebarang pertuduhan atau hak lawatan.
Pejabat Peguam Negara memaklumkan bahawa seramai 486 suspek ahli MS-13 dibicarakan atas 47,000 jenayah. Jenayah itu dilakukan antara tahun 2012 hingga 2022, termasuk 29,000 kes pembunuhan.
Pihak berkuasa Salvador menuduh kumpulan itu terlibat dalam pelbagai jenayah berat, termasuk pembunuhan 87 orang pada Mac 2022.
MS-13 dan musuh ketat mereka, geng Barrio 18, mengendalikan rangkaian pengedaran dadah dan pemerasan di seluruh Amerika Tengah. Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah mengklasifikasikan kedua-dua kumpulan ini sebagai organisasi pengganas.
Susulan kejadian berdarah itu, Bukele mengisytiharkan perang terhadap geng jalanan yang menurutnya telah menguasai 80 peratus wilayah El Salvador. MS-13 turut berhadapan pertuduhan melakukan pemberontakan kerana cuba menubuhkan kerajaan sendiri.
Sejak 2022, di bawah perintah darurat, lebih 91,000 suspek ahli geng telah ditangkap. Kempen ini menjadikan Bukele sangat popular kerana berjaya menurunkan kadar jenayah secara drastik sehingga mengubah El Salvador daripada menjadi antara negara paling berbahaya di Amerika Latin kepada antara paling selamat.
Bagaimanapun, kumpulan hak asasi manusia mengecam tindakan itu kerana didakwa melibatkan pencabulan hak asasi serius, ketiadaan proses undang-undang yang adil bagi tahanan, laporan penyeksaan serta lebih 500 kematian di dalam penjara.
Nasib para tahanan kini ditentukan melalui perbicaraan besar-besaran, di mana hakim tanpa nama menjatuhkan hukuman seragam kepada kumpulan besar defendan yang mengikuti prosiding melalui pautan video dari penjara. – AFP










