JELI: Taktik licik seorang buruh ladang memproses air ketum di dalam kawasan hutan di Bukit Selar, Kuala Balah di sini terbongkar selepas diserbu polis semalam.
Ketua Polis Daerah Jeli, Superintanden Kamarulzaman Harun berkata, hasil soal siasat yang dijalankan mendapati suspek berusia 30 tahun itu berbuat demikian bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Katanya, uspek dipercayai memasak sendiri air ketum di kawasan tersebut sebelum menjualnya kepada penduduk di sekitar Kuala Balah.
“Air ketum itu dijual pada harga RM30 bagi setiap liter. Siasatan turut mendapati suspek dipercayai aktif sejak 2024.
“Dengan ini kita berjaya melumpuhkan satu rangkaian kecil pengedaran air ketum di kawasan Kuala Balah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kamarulzaman memberitahu, pihak sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan jika terdapat individu lain yang terlibat.
Katnya, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana memiliki dan memproses air ketum tanpa kebenaran.-UTUSAN










