Isteri Ako Mustapha dedah anak alami trauma dibuli - Utusan Malaysia

Isteri Ako Mustapha dedah anak alami trauma dibuli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Saya masih di hospital, anak saya seperti ada tanda-tanda trauma.”

Demikian kata isteri kepada pelakon, Ako Mustapha, Kartina Shuaib berkongsi perkembangan mengenai anaknya, Mika yang didakwa dibuli oleh lima orang pelajar di sekolah semalam.

Menurut Kartina, anaknya kerap meracau apabila pihak perubatan mahu membuat pemeriksaan lanjut pada bahagian perut ekoran ditendang oleh pembuli berkenaan.

“Tadi semasa doktor mahu memeriksa perut Mika, belum sentuh lagi dia sudah menangis dan meracau ketakutan.

“Mummy perlu tenangkan dia, beritahu dia “tidak mengapa”, doktor cuma mahu periksa sahaja. Doktor tidak akan buat apa-apa untuk menyakitinya,” katanya di Threads, sebentar tadi.

Tambahnya lagi, dia berasa berat hati, bahkan mahu sahaja berkongsi kesan kecederaan yang terdapat pada bahagian perut anaknya kerana geram dengan pelaku.

“Saya sebagai seorang ibu menangis melihat anak saya begitu. Mahu sahaja saya kongsikan di sini gambar-gambar dan video kesan bengkak pada tapak kaki serta kesan tumbukan pada perut anak saya.

“Saya ibunya, memang sangat geram dan marah. Hanya Allah sahaja yang tahu. Doakan anak saya kembali ceria,” kongsinya.

Terdahulu, Ako mendedahkan bahawa anaknya yang berusia 10 tahun itu telah dibuli oleh tiga orang pelajar senior dan 2 orang rakan sekelas.

Enggan berdiam diri, pelakon itu turut membuat laporan polis, malah berkongsi perihal tersebut kepada pihak sekolah agar tindakan sewajarnya diambil.

Difahamkan, kini anak pelakon itu sedang menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas mengadu sakit pada bahagian perut dan dada.

“Selepas doktor di klinik kesihatan memeriksa tadi, doktor memberikan surat rujukan ke HKL. Sekarang kami sedang berurusan di HKL. Mika mengadu sakit perut dan dada.

“Isteri saya juga telah mengambil gambar dan video kesan buli tersebut. Semua gambar dan video jelas menunjukkan kesan tapak kasut serta kesan tumbukan.

“Cikgu kelas juga telah dimaklumkan dan akan menyiasat untuk mengambil tindakan seterusnya. Alhamdulillah, guru kelas anak saya, Mika, memberikan kerjasama,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN