Jalan kaki 9 jam gempur komunis - Utusan Malaysia

Jalan kaki 9 jam gempur komunis

KARIM Wagiman menunjukkan pingat serta hadiah yang diterima sepanjang 21 tahun menjadi anggota renjer di rumahnya di Kampung Bendahara, Johor. – mingguan/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pertempuran Rejimen Renjer Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di hutan belantara Nonukan, Sarawak bersama pengganas komunis kira-kira 49 tahun lalu masih segar dalam ingatan bekas Renjer Batalion Ketiga, Karim Wagiman yang ketika itu berusia 23 tahun.

Menjadi renjer termuda dalam batalion itu, Karim yang bersara dengan pangkat Sarjan berkata, dia ditugaskan di barisan hadapan bagi skuad pengesan mencari kedudukan musuh utama pada era itu.

Sebelum berbalas tembakan, katanya, mereka terlebih dahulu diuji dengan berjalan kaki selama sembilan jam mengesan kem komunis di hutan tersebut.

“Setelah berjalan kaki bermula pukul 3 petang, akhirnya kami menemukan kem pengganas kira-kira pukul 12 tengah malam, malah sebelum sampai ke tempat persembunyian mereka, seramai 24 anggota renjer daripada Platun 12 termasuk saya terpaksa meredah hutan tebal dan paya dalam keadaan gelap.

“Mujur ketika itu bulan penuh dan keadaan dalam hutan terang. Kami di bawah kompeni dipimpin Kapten Ro­bert Rizal cukup handal dan cekap dalam hutan,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di Kampung Bendahara di sini semalam.

Katanya, selain berbekalkan senjata jenis beretta, hanya doa dan tawakal yang menjadi kekuatannya.

Menurut bapa kepada empat orang anak itu, misi yang dinamakan Operasi Gerapu itu berlaku pada bulan puasa selain dalam keadaan hujan lebat.

“Setelah mengetahui kawasan persembunyian komunis, Kapten Robert arahkan kami berpecah dan hanya membawa senjata dan 160 butir peluru untuk bertempur. Sepanjang malam kami tidak tidur hanya memerhati dari jarak 50 meter segala pergerakan komunis yang seramai 70 orang.

“Sebaik sahaja mengambil posisi, kira-kira pukul 5 pagi berlaku pertempuran dan kea­daan dalam hutan yang sunyi bertukar menjadi medan tembakan senjata selama kira-kira setengah jam,” katanya.

Akhirnya setelah keadaan reda, Karim berkata, dia bersama anggota renjer lain memeriksa kem pengganas dan berjaya menemukan tujuh tubuh bergelimpangan manakala yang lain berjaya melarikan diri.

“Rasa puas apabila berjaya menembak komunis yang menjadi musuh negara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN