Isu rehatkan KP SPRM dibawa kepada PM - Wan Junaidi - Utusan Malaysia

Isu rehatkan KP SPRM dibawa kepada PM – Wan Junaidi

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Isu sama ada wajar untuk merehatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki akan dibawa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, beliau tidak mempunyai kuasa untuk merehatkan Azam, namun berjanji membawa perkara itu kepada Perdana Menteri.

“Saya tidak ada kuasa untuk merehatkan sesiapa, tetapi saya akan bawa perkara ini kepada Perdana Menteri. Macam mana kita boleh fikirkan secara adil kepada semua pihak, bukan sahaja kepada SPRM tetapi juga kepada Yang Berhormat dan Ketua Pesuruhjaya SPRM,” katanya ketika sesi penggulungan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab celahan Gobind Singh Deo (PH-Puchong) berhubung cadangan untuk merehatkan Azam supaya tidak berlaku sebarang campur tangan dalam kes tiga orang pegawai kanan SPRM yang didakwa terlibat dalam salah guna kuasa dalam penyelewengan dalam urusan kes seorang bekas ketua jabatan yang pernah disiasat oleh SPRM.

Dalam pada itu, Wan Junaidi turut menjelaskan mengapa SPRM merupakan badan paling sesuai menyiasat kes yang melibatkan pegawai kanan SPRM.

“Pemulaan siasatan oleh SPRM adalah berdasarkan first information report (FIR) yang diterima oleh SPRM yang mana SPRM mempunyai kebertanggungjawaban undang-undang yang diperuntukkan di bawah Seksyen 29(1) Akta 694 untuk membuat aduan berhubung pelakuan sesuatu kesalahan di bawah Akta 694 agar penyiasatan dapat dijalankan dengan menggunakan segala kuasa penyiasatan di bawah Akta 694 dan Kanun Tatacara Jenayah sebagaimana diperuntukkan lanjut di bawah Seksyen 29(3) Akta 694.

“Selain itu, Seksyen 67 Akta 694 memperuntukkan bahawa peruntukan-peruntukan di bawah Akta 694 adalah terpakai ke atas SPRM bagi suatu ‘kesalahan ditetapkan (prescribed offence)’ yang antaranya merangkumi
beberapa kesalahan di bawah Kanun Keseksaan,” katanya.

Justeru, katanya, penetapan kesalahan-kesalahan yang disiasat oleh SPRM berhubung kes itu adalah di bawah bidang kuasa SPRM sebagaimana agensi-agensi penguatkuasaan lain.

“Oleh itu, kes ini turut disiasat oleh SPRM bagi kesalahan di bawah seksyen 403 (berhubung salahguna harta secara tidak jujur) dan seksyen 409 (berhubung pecah amanah jenayah) Kanun Keseksaan (Akta 574) di mana kesalahan–kesalahan tersebut merupakan kesalahan ditetapkan (prescribed offence) di bawah Akta 694.

“Tidak terhad kepada Akta 694 dan Akta 574, siasatan kes ini juga akan turut mempertimbangkan kesalahan di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613),” katanya.

WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR

Malah, Wan Junaidi berkata, prosedur operasi standard (SOP) SPRM menetapkan kesegeraan yang munasabah diberi kepada pelaksanaan penyiasatan kes ini.

“Sehubungan itu, SPRM telah pun mengambil tindakan segera memulakan penyiasatan kes ini dan menangkap ketiga-tiga pegawai berkenaan termasuk menahan reman mereka bagi membantu melengkapkan kertas siasatan.

“Siasatan kes ini masih berjalan dan SPRM akan memastikan siasatan dijalankan secara telus dan profesional serta tiada kompromi untuk melindungi mana-mana pegawai yang terlibat dalam sebarang perbuatan jenayah.

“Bukan menjadi suatu perkara yang luar biasa bagi sesuatu agensi penguatkuasaan menjalankan penyiasatan terhadap pegawainya sendiri asalkan ia termaktub di bawah bidang kuasa agensi masing-masing,” katanya.

Tambahnya, apabila maklumat diterima oleh SPRM, adalah menjadi kewajipan kepada SPRM untuk menjalankan siasatan tanpa kelengahan.

“Dalam tempoh siasatan bermula sehingga reman tamat, tiada sebarang laporan polis yang dibuat oleh mana-mana pihak.

“Hanya selepas isu ini dibangkitkan oleh Yang Berhormat dalam Dewan yang mulia ini, barulah ada pihak yang membuat laporan polis,” katanya.

Beliau turut mempertahan SPRM sebagai sebuah agensi penguatkuasa undang-undang yang turut tertakluk kepada prinsip kedaulatan undang-undang (rule of law) dalam pelaksanaan fungsi-fungsi yang dipertanggungjawabkan ke atasnya.

“Oleh itu, semua pihak harus mempunyai keyakinan berterusan ke atas kewibawaan SPRM dalam mengendalikan kes ini,” katanya.

Wan Junaidi berkata, SPRM mempunyai mekanisme semak dan imbang melalui tiga Jawatankuasa Pemantau Bebas iaitu Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Jawatankuasa Aduan (JKA) dan Panel Penilaian Operasi (PPO) bagi memastikan pelaksanaan penyiasatan kes yang dijalankan oleh SPRM dilakukan secara telus, bebas dan profesional.

“Semua pihak perlu bersabar dan perlu yakin kepada SPRM dalam siasatan kes ini supaya kertas siasatan yang lengkap dapat dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara untuk kajian serta keputusan dan mereka yang terlibat dapat dibawa ke muka pengadilan dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya