SHAH ALAM: Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah menafikan sebuah syarikat yang terlibat dengan isu penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) mempunyai kaitan dengan baginda.
Baginda menerusi kenyataan yang dikeluarkan Istana Mestika bertitah menyedari terdapat dakwaan mengatakan isu penyahwartaan yang sudah pun dibangkitkan sejak tahun lalu terhadap tanah keluasan 536.7 itu cuba dikaitkan dengan Kerabat Diraja Selangor.
“Berhubung isu HSKLU, beta mengambil maklum bahawa terdapat beberapa golongan yang mempercayai bahawa beta telah mendapat keuntungan daripada keputusan pembangunan di kawasan tersebut.
“Ingin beta tegaskan disini bahawa beta tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Syarikat Gabungan Indah Sdn. Bhd. mahupun pembangunan tersebut,” titahnya.
Tengku Amir Shah bertitah, baginda begitu terkesan akan isu alam sekitar dan mengambil maklum bagaimana pembangunan meninggalkan impak mendalam terhadap perubahan iklim, generasi akan datang, bahkan kesan yang tidak dapat kita pulihkan.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan penerokaan HSKLU untuk pembangunan mengancam pelbagai spesies haiwan dan tumbuhan yang menjadi khazanah rimba itu.
Pada masa ini, menurut Orang Asli Suku Temuan yang tinggal berhampiran hutan simpan tersebut menyatakan kawasan itu masih menjadi habitat beberapa spesies haiwan liar unik antaranya dilindungi undang-undang seperti beruang matahari, tupai terbang dan ikan laga langat merah (Betta Livida) yang didakwa hanya terdapat di sana.
Malah, Mingguan Malaysia hari ini melaporkan Orang Asli khususnya penduduk Kampung Busut Baru yang mendakwa kecewa apabila mereka berterusan diganggu sejak kali pertama diarahkan berpindah dari Sepang pada 1993.
Dalam pada itu, baginda menyeru semua pihak dapat memainkan peranan dalam memikul tanggungjawab untuk memelihara dan memulihara tanah air.
“Kawasan hutan, terutamanya kawasan hutan paya gambut memainkan peranan yang penting dan nadi utama dalam penyerapan karbon bagi memastikan kadar pemanasan global dapat diatasi.
“Beta berharap semua pihak dapat memainkan peranan dalam memikul tanggungjawab untuk memelihara dan memulihara tanah air kita. Kuatkuasakan undang-undang dan terus menjadi pelindung kepada komuniti setempat.
“Wujudkan komuniti lestari, prihatin, empati dan berpandangan jauh agar dapat memelihara alam sekitar. Rakyat Selangor tidak mahu merasa kehilangan khazanah permata ini. Selaku warga Malaysia, semua pihak harus bersatu tenaga dalam memainkan peranan masing-masing untuk memelihara alam ini. Tebus kekhilafan lalu dengan menyelamatkan alam sekitar hari ini,” titahnya.










